Tiada pelanggaran SOP Covid-19 berlaku di MRSM Sungai Besar

0
262
Pihak bomba melakukan sanitasi di MRSM tersebut

CYBERJAYA – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menafikan tuduhan bahawa MRSM Sungai Besar, Selangor gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengawal penularan wabak Covid-19 seperti yang tular dalam aplikasi WhatsApp, baru-baru ini.

Menurut MARA dalam satu kenyataan, tuduhan bahawa pelajar MRSM terbabit tidak mendapat bekalan makanan yang secukupnya adalah tidak tepat.

Malah, katanya, dakwaan bahawa pelajar bergejala tinggal di asrama yang sama dengan pelajar sihat akibat tiada tempat pengasingan, serta dakwaan wujudnya masalah SOP keselamatan melibatkan sanitasi, pembekalan pelitup muka dan sebagainya juga tidak benar.

“Pihak maktab telah pun mengambil tindakan segera dengan mewujudkan jawatankuasa yang beroperasi 24 jam sejak hari pertama gejala Covid-19 dikesan.

“Jawatankuasa ini diketuai oleh pengetua maktab dan dianggotai oleh guru dan staf bagi membuat kerja-kerja pensanitasian setiap hari dengan nasihat dan pemantauan daripada pihak bomba.

“Sanitasi keseluruhan bangunan maktab telah dilakukan oleh pihak bomba pada Jumaat lalu, ” katanya hari ini.

MRSM Sungai Besar telah mengasingkan pelajar yang bergejala ke tempat lain

Mengulas lanjut, katanya, MARA sentiasa berhubung rapat dengan pejabat kesihatan daerah (PKD) sejak wujudnya gejala dan kes kontak rapat di kalangan pelajar.

Katanya, pelajar yang bergejala telah diasingkan daripada pelajar yang sihat di blok lain serta menggunakan tandas yang berlainan.

“Pengasingan ini telah dibuat sejak 24 Januari lagi di mana pelajar-pelajar ini diasingkan mengikut kategori dan ditempatkan di aras serta blok yang berbeza termasuk penggunaan tandas yang berasingan di bawah pemantauan PKD.

“Di samping itu juga, para pelajar lain turut dikawal pergerakan dengan mewujudkan sekatan-sekatan laluan yang perlu untuk memastikan pengasingan dan penjarakan dilaksanakan secara teratur mengikut SOP keselamatan,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, salah seorang pelajar yang bergejala juga telah ditempatkan di MAEPS, Serdang.

“Walau bagaimanapun pelajar berkenaan tidak kritikal hanya mengalami gejala batuk.

“MARA sentiasa memastikan pelajar-pelajar MRSM mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengawal penularan Covid-19 di kalangan pelajar,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya telah membuat satu laporan polis berhubung tuduhan tersebut dan pada masa sama, meminta ibu bapa menghubungi pihak maktab sekiranya terdapat masalah.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here