Tidak perlu tunggu 10 atau 20 tahun tentukan ‘agama Melayu’ sesat- Nasrudin

0
1058
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan

CYBERJAYA – Tidak perlu tunggu sehingga 10 atau 20 tahun untuk menentukan ajaran ‘agama Melayu’ yang dibawa oleh ‘Ibu Yati’ adalah sesat dan bercanggah dengan ajaran Islam.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan berkata, ia kerana telah terbukti ajaran yang dibawa oleh wanita berkenaan adalah bercanggah dengan al-Quran.

Nasrudin berkata, secara umumnya, ajaran yang dibawa itu sememangnya salah, menyesatkan serta sangat mengelirukan sekiranya diikuti dan dipraktikan oleh masyarakat Islam.

“Perkataan hukum sesat itu bukan bermaksud saya keluarkan satu fatwa dan penguatkuasaan untuk bertindak ke atas beliau (Ibu Yati), itu diluar bidang kuasa saya di Yadim.

“Saya sebut, ajaran yang dibawa itu adalah salah dan menyesatkan jika diikuti dan dipraktikan oleh masyarakat Islam. Ia dengan jelas akan mengelirukan seluruh umat Islam kita.

“Jadi, untuk tentukan bercanggah dengan Islam tidak, tidak perlu tunggu 10 atau 20 tahun. Jika hari ini dia menafikan Allah bukan tuhan, serta merta ajaran itu sesat dan salah.

“Untuk tindakan lebih lanjut keatasnya, menilai lebih dalam apa maksud ‘hati perutnya’, kita serah kepada pihak berkuasa dalam hal ini termasuk jabatan agama negeri.

“Tetapi, umum apa yang dia (Ibu Yati) tulis  dan ungkap itu adalah ajaran yang salah dan menyangahi al-Quran dan Sunnah,” katanya kepada Malakat Tribune.

Menurut Nasrudin, ajaran berkenaan tidak boleh dibiarkan berkembang dalam kalangan masyarakat dan perlu dibendung dalam kadar segera bagi mengelak masyarakat terkeliru.

“Kadang-kadang ada orang buat salah tetapi, dia kata tak apa dia tidak maksudkan begitu…itu soal dia dengan tuhan, bagaimana nak urus hati dengan Allah kesilapannya itu.

“Tetapi perkataan zahir itu dia telah sampaikan satu mesej dan aliran kepada masyarakat yang sangat mengelirukan…Dan kalau dibiarkan akan merosakkan masyarakat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here