Tindakan lebih tegas kepada pihak ingkar SOP ketika PKP- Muhyiddin

0
75
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA- Kerajaan akan meminda beberapa Akta sedia ada bagi membolehkan tindakan lebih tegas dikenakan ke atas pihak yang gagal patuhi prosedur opersi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pematuhan kepada SOP di tempat kerja, tempat penginapan pekerja dan premis peniagaan dan kilang adalah penting untuk kita memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Oleh itu katanya, Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat telah meneliti peruntukan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 yang perlu dipinda.

“Pindaan tersebut antaranya arahan penutupan serta merta premis perniagaan yang tidak mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan

“Tindakan perundangan terhadap pemilik perniagaan, pemegang francais, operator francais dan pihak berkepentingan lain dalam rantaian organisasi perniagaan.

“Tindakan perundangan terhadap rantaian pengurusan pekerja asing meliputi majikan, ejen pembekal pekerja, kontraktor utama, sub-kontraktor dan orang perseorangan.

“Tindakan kompaun yang lebih tinggi kepada pesalah berulang atau pesalah yang telah diberi amaran.

“Tindakan penjara ke atas pesalah yang melanggar peraturan dan SOP serta tindakan tatatertib ke atas Penjawat Awam yang tidak mematuhi Peraturan dan SOP termasuk kepada Ketua Jabatan berkaitan pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Menurut Muhyiddin, kerajaan juga akan meminda Akta Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] bagi penambahbaikan berdasarkan situasi semasa.

Katanya, penginapan pekerja asing yang sesak dan tidak memenuhi standard menjadi antara punca utama penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja di negara ini. 

“Sehingga semalam, sektor pengilangan merekodkan jumlah kluster Covid-19 yang tertinggi iaitu 128 kluster, diikuti oleh sektor pembinaan sebanyak 82 kluster dan sektor perkhidmatan sebanyak 61 kluster.

“Menerusi kuasa yang diberikan kepada Kerajaan di bawah Proklamasi Darurat, Kerajaan sedang dalam proses untuk meminda Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 446 bagi tujuan menangani isu-isu pengurusan tempat tinggal pekerja menerusi tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas,” katanya.

Menurut Muhyiddin, pindaan berkenaan akan mewajibkan majikan menyediakan tempat tinggal yang memenuhi standard yang ditetapkan serta menanggung kos penginapan, perpindahan dan kos saringan kesihatan pekerja.

“Majikan juga perlu melaksanakan tindakan pemantauan ke atas pekerja asing sewaktu bekerja di premis pekerjaan dan selepas waktu bekerja di tempat tinggal selain memastikan agen pusat penginapan pekerja menyediakan tempat tinggal pekerja yang memenuhi syarat dan standard kesihatan awam yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here