
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia mengesan trend pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier dan penganjuran parti di kondominium mewa meningkat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain, pada tahun lalu sahaja pihaknya merekodkan lima kes dan menahan empat lelaki membabitkan sindiket dadah yang menggunakan perkhidmatan itu dengan 103 tangkapan dan 84 kes.
Katanya, kegiatan penyeludupan dadah menggunakan perkhidmatan servis kurier dipercayai menjadi pilihan kumpulan sindiket kerana tidak melibatkan orang tengah sebagai pengedar.
“Ada sindiket menjalankan aktiviti pengedaran dengan menyembunyikan dadah dalam barang penting dan keperluan asas.
“Ini membolehkan kegiatan pengedaran terus aktif bagi mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Razarudin berkata, modus operandi kedua adalah dengan menggunakan lori yang dibenarkan merentas negeri dan daerah untuk penghantaran barang penting dan keperluan asas bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.
Yang ketiga, katanya, sindiket menggunakan perkhidmatan e-hailing bagi membuat penghantaran dadah dengan menyembunyikannya dalam bungkusan makanan atau barang.
“Sepanjang pelaksanaan PKP di seluruh negara, 29 kes dan 39 tangkapan membabitkan sindiket dadah menggunakan perkhidmatan penghantaran e-hailing berjaya ditumpaskan,” katanya.
Selain itu beliau berkata, pihaknya turut mengesan trend sindiket pengedaran dadah yang mula beralih kepada penganjuran parti haram atau ‘private party’ untuk menjual dadah kepada pengguna.
“Pusat hiburan yang tidak dibenarkan beroperasi menyebabkan sindiket itu beralih ke parti haram dalam kondominium mewah.
“Sepanjang tempoh PKP, seramai 1,135 orang ditahan kerana terbabit sindiket di kawasan berkenaan,” katanya.
Razarudin berkata, kecanggihan teknologi dilihat membawa kesan negatif dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran dadah yang kini menggunakan kaedah penjualan bahan terlarang itu secara dalam talian.
“Terdapat beberapa laman web e-dagang popular menjalankan penjualan dan pembelian dadah secara terbuka dalam talian,” katanya.