
CYBERJAYA – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 berkuat kuasa serta merta.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, pelantikan bersama 18 ahli lain itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Selain Arifin, turut dilantik ialah bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman; bekas Ketua Polis Negara,Tan Sri Norian Mai dan bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.
Jawatankuasa itu turut dibarisi pakar kesihatan antaranya bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Prof. Tan Sri Dr. Mohamad Taha Arif; pakar bedah jantung dan pakar kesihatan awam, Prof. Datu Dr. Andrew Kiyu Dawi anak Usop.
“Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berperanan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu berkata, Majlis Keselamatan Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri berperanan sebagai urus setia jawatankuasa tersebut.
Berikut merupakan senarai penuh Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021
- Tun Arifin Zakaria, bekas Ketua Hakim Negara – Pengerusi
- Tan Sri Samsudin Osman, bekas Ketua Setiausaha Negara
- Tan Sri Norian Mai, bekas Ketua Polis Negara
- Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, bekas Panglima Angkatan Tentera
- Prof. Tan Sri Dr. Mohamad Taha Arif, bekas Ketua Pengarah Kesihatan
- Tan Sri Dr. Yahya Awang, pakar bedah jantung
- Tan Sri Ter Leong Yap, Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia
- Tan Sri Dr. R. Palan, Pro-Canselor Universiti Cyberjaya
- Dato’ Setia Sallehuddin Saidin, bekas Timbalan Pendakwaraya Pejabat Peguam Negara
- Prof. Madya Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis
- Prof. Datu Dr. Andrew Kiyu Dawi anak Usop, pakar kesihatan awam
- Tan Sri Sukarti Wakiman, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah
- Tan Sri Noh Omar, Ahli Parlimen Tanjung Karang
- YB Datuk Sri Rohani Abdul Karim, Ahli Parlimen Batang Lupar
- YB Datuk Azizah Mohd. Dun, Ahli Parlimen Beaufort
- YB Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh, Ahli Parlimen Pasir Puteh
- YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu
- YB Anthony Loke Siew Fook, Ahli Parlimen Seremban
- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor