
KULAI- Sebanyak 126,000 individu akan menerima suntikan vaksin Covid-19 pada setiap hari menerusi Pelan Kebangsaan Covid-19 bermula 26 Februari ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bagi menjayakan program itu, seramai 7 petugas menyuntik vaksin (vaksinator) akan ditempatkan di setiap 600 lokasi vaksinasi di setiap lokaliti atau kawasan.
“Setiap vaksinator itu akan menyuntik vaksin Covid-19 dengan maksimum penerima seramai 30 individu setiap hari. ini bermakna bagi setiap lokaliti atau kawasan yang mempunyai tujuh vaksinator akan merekodkan jumlah penerima vaksin seramai 210 individu.
“Fasa pertama pada 26 Februari ini di mana penerimanya merupakan petugas barisan hadapan iaitu anggota KKM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan lain- lain yang ditetapkan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas operasi bersepadu KKM, PDRM dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor ke penempatan pekerja warga asing di kawasan industri Senai, semalam.
Bulan lalu, Adham melaporkan Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 negara akan bermula penghujung bulan ini melibatkan sebanyak sejuta vaksin dari Pfizer-BioNTech yang akan diagih dan disuntik bagi fasa pertama.
Sementara itu, beliau berkata, kesemua yang akan divaksin perlu mengisi dokumen khas yang dimuat turun di aplikasi MySejahtera atau borang yang dihantar oleh petugas khas seminggu sebelum mereka dijadualkan mengambil suntikan vaksin.
Menurut Adham, setiap penerima vaksin juga mempunyai jadual waktu masing-masing dan mereka tidak perlu menunggu lama termasuk untuk mengisi borang kerana ia sudah disiapkan lebih awal.
“Bagi fasa kedua, Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 dijangka akan bermula pada Mac ini. Penerima vaksin fasa kedua ini melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas serta mereka yang berisiko menghidap penyakit kronik termasuk diabetes dan darah tinggi,” katanya.
Pada 3 Februari lalu, KKM dilaporkan sudah bersedia untuk melaksanakan Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama sebaik bekalan vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Malaysia pada 26 Februari ini.