
NEW YORK – Vaksin Covid-19 keluaran firma Pfizer tidak lagi perlu disimpan pada suhu sejuk melampau, kata firma tersebut semalam.
Menurut New York Post, laporan kestabilan Pfizer menunjukkan, vaksin itu boleh disimpan pada suhu antara 5 hingga -13 darjah Fahrenheit (-15 hingga -25 darjah Celcius) tanpa merosakkannya.
Sebelum ini, vaksin tersebut perlu disimpan pada suhu -94 darjah Fahrenheit (-70 darjah Celcius).
Penemuan ini turut disahkan oleh rakan kongsi Pfizer, BioNTech dari Jerman yang turut sama membangunkan vaksin tersebut.
“Ini akan memudahkan pihak bertanggung jawab mengedarkan vaksin tersebut ke kawasan luar bandar tanpa memerlukan sebarang tambahan kos pengangkutan dan penyimpanan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BioNTech, Ugur Sahin.
Laporan itu sudah dihantar kepada Pihak Pentadbir Bahan Makanan dan Perubatan Amerika Syarikat (US FDA) bagi kelulusan.