Vaksin Sinovac akan dikilangkan di dalam negara setelah terima kelulusan

0
88

CYBERJAYA – Vaksin Covid-19 keluaran Sinovac yang baharu tiba di Malaysia akan dikilangkan di dalam negara apabila diluluskan kelak.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, vaksin yang masih dalam penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) itu apabila diluluskan, akan dikilangkan oleh firma farmaseutikal tempatan, Pharmaniaga.

“Setelah diluluskan, Pharmaniaga mempunyai kapasiti untuk menghasilkan sehingga 2 juta dos sebulan,” kata Khairy, hari ini.

Pagi tadi, negara menerima bekalan vaksin keluaran Sinovac dari China itu dalam bentuk cecair sebanyak 200 liter.

Bekalan yang diterima itu boleh menghasilkan sebanyak 300,000 dos apabila diproses kelak.

Vaksin itu diterbangkan dari China menerusi penerbangan Malaysia Airlines, menggunakan sebuah pesawat Airbus A330-300.

Ketibaan pesawat pada pukul 9 pagi itu disambut oleh Khairy selaku Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), dan juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Turut hadir, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri; Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; dan Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here