
CYBERJAYA – Suasana tenang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Pesakit Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang bertukar kecoh malam tadi apabila sekumpulan pesakit mendakwa kehilangan telefon bimbit dipercayai akibat dicuri.
Susulan kekecohan tersebut, sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi bagi mententeramkan keadaan.
Portal Malaysia Gazette melaporkan, Ketua Polis Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Razali Abu Samah yang mengesahkan kejadian itu berkata, dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian itu telah dipindahkan ke Dewan DG bagi tujuan keselamatan.
Malah, beliau berkata, pegawai perubatan yang bertugas telah turut merampas empat buah telefon bimbit yang disyaki dicuri oleh suspek-suspek tersebut.
Kedua-dua suspek itu merupakan antara pesakit Covid-19 yang sedang menjalani perintah kuarantin di pusat tersebut.
Razali menambah, suspek kedua yang dibenarkan keluar dari PKRC pada hari ini akan ditahan untuk siasatan lanjut.
Manakala suspek pertama berusia 24 tahun ditahan esok sebaik sahaja dibenarkan keluar.
Kedua-duanya akan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.