Wang RM3.8 juta lesap diperdaya kenalan Facebook

0
94

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas berusia 74 tahun berputih mata selepas kerugian RM3.8 juta akibat diperdaya seorang kenalan di Facebook yang menawarkan geran dari Tabung Kewangan Antarabangsa. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Asisten Komisioner Mohd Salleh Abdullah berkata, mangsa ditipu selepas berkenalan dengan seorang individu bernama Freddie Khoo yang menjanjikan geran bantuan sebanyak ASD150,000.

“Mereka kemudian berhubung melalui WhatsApp dan mangsa diminta membuat pembayaran terlebih dahulu sebelum mendapatkan geran bantuan tersebut.

“Mangsa membuat pembayaran kali pertama berjumlah RM12,800. Kemudian suspek menaikkan jumlah bantuan geran kepada ASD900,000 supaya mangsa dapat membuat pembayaran lebih baik bagi mendapatkan geran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Salleh, sebelum menyedari diri ditipu, mangsa telah melakukan 64 transaksi ke 10 akaun melibatkan jumlah RM3.8 juta antara Julai hingga Disember 2020.

“Suspek beritahu mangsa, geran bantuan ditawarkan itu ditamatkan. Mangsa perlu membuat permohonan semula. 

“Mangsa merasakan dirinya telah ditipu kerana tidak mendapat geran sebagaimana yang dijanjikan dan telah membuat laporan polis di Balai Polis Tampoi,” katanya.

Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here