Wanita warga emas kudung kaki ‘dibuang’ anak sendiri di tepi jalan

0
349
Skuad Saidina Umar Zakat Selangor membantu wanita malang itu mendapatkan tempat perlindungan di sebuah rumah jagaan orang tua

CYBERJAYA – Seorang wanita warga emas yang kudung sebelah kaki dan berkerusi roda ditimpa malang apabila ditinggalkan bersendirian di tepi jalan oleh anaknya sendiri pada malam Sabtu lalu.

Kisah sedih wanita itu dikongsi oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang memaklumkan, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung keadaan wanita yang kudung sebelah kaki ditinggalkan dengan bekalan lampin pakai buang serta beg pakaian.

“Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor serta Ketua Operasi Agihan Daerah Kuala Langat bertindak segera turun padang pada jam 8.30 malam semalam bagi menyantuni wanita yang ditinggalkan seorang diri ini.

“Hasil siasatan mendapati beliau merupakan asnaf fakir dan masih mempunyai keluarga,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut LZS, usaha pihaknya menghubungi keluarga warga emas tersebut berjaya dilakukan namun tidak mendapat kerjasama yang baik apabila tiada seorang waris sudi menjemputnya kembali ke rumah dengan pelbagai alasan.

Berikutan itu, katanya, LZS terpaksa menyerahkan warga emas berkenaan untuk tindakan lanjut pihak polis di bawah bidang kuasa pihak berwajib bagi menghubungi anak warga emas terbabit dan menjalankan sesi rundingan mengikut kepakaran pihak berkuasa berkenaan.

Pihak ambulans membawa wanita itu ke hospital untuk menjalani ujian saringan Covid-19

“Pada mulanya, anak warga emas tersebut dikatakan bersetuju hadir ke balai polis, namun sekitar jam 3 pagi pada Ahad, individu terbabit dikatakan membuat keputusan tidak boleh menjaga ibunya lagi menyebabkan pihak polis terpaksa hubungi pusat jagaan warga emas yang kemudian datang menaiki ambulans untuk membawanya ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan dan saringan Covid-19.

“Hati mana yang tidak tersentuh apabila ibu ini masih mendoakan yang terbaik untuk anaknya.

“Katanya ‘dah lama acik tak jumpa anak, anak acik baik orangnya’. Kami cuba menyembunyikan rasa sebak kami kepada beliau. Mungkin ada kisah keluarga yang hanya mereka mengetahuinya,” katanya.

Wanita malang berkerusi roda itu ditinggalkan di tepi jalan sebelum diselamatkan oleh LZS

Susulan itu, katanya, LZS telah menempatkan wanita itu di pusat jagaan warga emas mengikut prosedur dengan kebenaran anaknya dan semua kos ditanggung oleh agensi tersebut.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here