Warga emas dibuang di surau selepas diperdaya anak saudara sendiri untuk solat berjemaah

0
919
Warga emas yang ditinggalkan di sebuah surau di Subang diberikan makanan selepas mengadu kelaparan

CYBERJAYA – Seorang warga emas yang mengalami masalah kesihatan dibuang oleh anak saudara sendiri di sebuah surau di Subang, Selangor.

Lebih menyedihkan apabila, lelaki tersebut diperdaya oleh anak saudaranya itu kononnya untuk mengajak ke surau untuk menunaikan solat berjemaah tetapi sekadar helah untuk meninggalkannya.

Menurut Lembaga Zakat Selangor (LZS), pihaknya yang menerima aduan daripada orang awam berhubung perkara itu terus bergegas datang membantu.

“Peringkat awal beliau tidak menjangkakan beliau akan diperlakukan sedemikian. Pujukan ahli keluarganya mengajak beliau ke surau tersebut untuk berjemaah, rupanya adalah perancangan untuk meninggalkan beliau di surau berkenaan.

“Pakaian juga telah siap diletakkan di dalam beg untuk bekalan beliau.

“Ketika kami sampai, beliau mengadu yang kakinya sakit akibat jangkitan kuman, perutnya lapar dan berada dalam keletihan,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook LZS hari ini.

Warga emas tersebut turut ditinggalkan bersama pakaiannya yang diletakkan dalam sebuah beg besar

Menurut LZS, simpati dengan nasib yang menimpa lelaki tersebut, pihaknya telah mencari tempat tinggal baharu untuk beliau.

“Alhamdulillah, setelah berunding, beliau bersetuju ditempatkan di sebuah rumah kebajikan Rufaidah Home Care Services di Dengkil.

“Zakat Selangor akan menanggung kos penjagaan dan juga kos rawatan beliau,” ujarnya.

Warga emas itu kini ditempatkan di sebuah rumah kebajikan Rufaidah Home Care Services di Dengkil.

Sementara itu, LZS turut mengucapkan terima kasih kepada pengeluar zakat sehingga pihaknya dapat menyalurkan bantuan zakat kepada mereka yang berhak.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here