Waspada gadai barang berharga, elak jadi mangsa penipuan

0
47
Gambar Hiasan

CYBERJAYA-  Orang ramai perlu berwaspada jika menggadaikan barangan berharga di kedai pajak gadai bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Ini kerana berkemungkinan wujud kedai pajak gadai tidak berlesen atau pihak tertentu mengambil kesempatan ke atas mereka yang terdesak mendapatkan wang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, orang ramai juga dinasihatkan tidak berurusan secara dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob

“Orang ramai jangan sesekali berurusan melalui medium secara dalam talian kerana kegiatan pajak gadai hendaklah dijalankan secara fizikal di premis perniagaan berdaftar.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac tahun lalu sedikit sebanyak memberikan impak dari segi ekonomi dan pendapatan golongan tertentu. 

“Demi kelangsungan hidup, sesetengah daripada mereka terpaksa menggadaikan barangan berharga di pajak gadai.

“Sekiranya masyarakat ingin menggadaikan barangan berharga, sila pastikan berurusan dengan syarikat pajak gadai yang dilesenkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainuddin berkata, masyarakat perlu berjaga-jaga dan mengambil tahu prosedur serta undang-undang yang berkaitan bagi mengelak diri daripada menjadi mangsa penipuan.

“Usaha dan peranan polis serta masyarakat adalah amat penting bagi memastikan negara ini terhindar daripada perlakuan jenayah komersial. 

“Antara lain, masyarakat juga diingatkan untuk sentiasa mengamalkan sikap berjimat -cermat dan mengutamakan keperluan.

“Hidup secara bermewah-mewah bukan lagi suatu pilihan kerana yang lebih penting adalah memastikan kelangsungan hidup itu sendiri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here