
CYBERJAYA- Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sedia untuk berdailog dengan ‘Ibu Yati’ berhubung isu ‘agama Melayu’ yang dibawa wanita tersebut.
Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan berkata, ia bagi memberi pencerahan, penjelasan dan pemurniaan dalam sudut pemikiran, akidah dan sebagainya.
“Kami bersedia bila-bila masa, itu memang bidang tugas Yadim untuk menyampaikan dakwah termasuk memberi pencerahan dan penjelasan.
“Kalau boleh bertemu, itu satu perkara yang sangat diharapkan, cuma bila sudah menjadi isu begini (saman) saya beri laluan dahulu kepada pihak berkuasa.
“Saya juga difahamkan sudah ada laporan polis beliau kepada saya dan laporan polis oleh NGO Islam terhadap beliau,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Sebelum ini, Ibu Yati atau nama sebenarnya Wan Noor Hayati Wan Alias memberi tempoh tujuh hari kepada Nasruddin untuk membuat permohonan maaf secara terbuka selain mempertimbangkan tindakan saman.
Mengulas mengenai tindakan saman, Nasrudin berkata, beliau sehingga hari ini belum menerima sebarang writ saman dan hanya membaca perkara berkenaan di media sahaja.
Nasruddin menegaskan, tiada istilah Islam Arab dan Islam Melayu sambil mempertahankan Islam yang diamalkan pada hari ini sebagai agama yang diwahyukan Allah melalui al- Quran dan Sunnah.
“Islam itu universal, jadi apabila bawa satu fahaman Islam Melayu dan menolak kononnya Islam yang kita amalkan sekarang ini adalah Islam Arab, jadi ini satu kekeliruan.
“Saya kira dia boleh merosakkan pemikiran umat Islam dan akidah umat Islam dengan fahaman yang disebarkan.
“Kalau saya baca dan meneliti tulisan dia sejak hampir setahun lepas dalam Facebook itu memang sangat bercanggah dengan al-Quran dan sunnah,” katanya