1,110 bungkus ketum kantoi di Kajang

0
138
Bungkusan air ketum yang dirampas polis dalam serbuan di Jalan Seksyen 2/15 Kajang Utama, semalam.

KAJANG – Polis berjaya menumpaskan sindiket penjualan air ketum dalam rampasan membabitkan 1,110 bungkus minuman berkenaan di sebuah premis di Jalan Seksyen 2/15 Kajang Utama semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam serbuan pada pukul 3.30 petang itu, polis merampas kesemua bungkusan air ketum bernilai RM11,100 yang disembunyikan di dalam tong ais.

Beliau berkata, berikutan itu pihak polis turut menahan dua lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan 30-an dan 50-an bagi membantu siasatan.

Menurutnya, air ketum yang siap diproses itu dipercayai untuk diedarkan kepada pelanggan di sekitar Kajang.

“Kedua-dua suspek serta bahan rampasan dibawa ke Balai Polis Kajang untuk tindakan lanjut. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM 10,000 atau kedua sekali.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here