25 peserta CFBA bergelar Coach, bakal bimbing usahawan untuk majukan lagi perniagaan

0
504


Peserta CFBA merakam gambar kenang-kenangan sempena majlis graduasi semalam di Malakat Mall

RAUDHAH CITY – Selepas 30 hari berkampung di Malakat Mall, Cyberjaya di sini, akhirnya seramai 25 peserta program Coach Fadzil Business Associate (CFBA) berjaya menamatkan pengajian mereka bersama pengasas pusat beli belah itu, Mohd Fadzil Hashim.

Lebih manis apabila kesemua peserta tersebut termasuk dua wanita mendapat Certified Business Coach sekali gus bergelar Coach dan layak untuk membantu serta membimbing usahawan bagi memajukan lagi perniagaan mereka.

Mohd Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata,sepanjang tempoh 30 hari itu beliau bersama pasukan tersebut berjaya merancang dan membina pelbagai jenis perniagaan termasuk perancangan untuk membuka sebanyak 200 outlet Tea Amo di seluruh negara.

Coach Fadzil

“Program ini ialah untuk mendidik, membmbing dan membantu usahawan kita yang selepas ini akan menjadi pasukan team asas untuk membantu usahawan luar yang lain “Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini kami membuat pelbagai strategi perniagaan dan membuat bisnes.

Lebih membanggakan apabila perancangan kita untuk membuka perniagaan Tea Amo di 200 outlet bakal direalisasikan tidak lama lagi,” katanya dalam majlis graduasi peserta CFBA di Malakat Mall semalam.

Malakat Express antara perniagaan baharu yang berjaya dibuka oleh Kumpulan Malakat sepanjang tempoh PKP 2.0

Coach Fadzil berkata, meskipun terpaksa berkorban dengan tidur, makan dan jarang bertemu keluarga sepanjang tempoh itu, semangat yang ditunjukkan setiap peserta program tersebut sangat luar biasa.

Malah, Coach Fadzil berkata, lebih membanggakan apabila ramai peserta junior menyertai program tersebut dan berjaya menamatkannya.

“Walaupun berada dalam tempoh masa yang panjang, Alhamdulillah majoriti peserta mahu menjadi versi baharu dan bersedia untuk pikul tanggungjawab untuk berkhidmat kepada ummah.

“Selepas ini akan ada kumpulan baharu untuk menyertai program ini, sasaran saya ialah semua kakitangan Malakat Mall dan Brainy Bunch menjadi ‘associate’ saya untuk bersama-sama membina sistem beli sama kita beli dan bantu sama kita,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya keputusan kerajaan yang akan menamatkan PKP pada Jumaat ini, beliau berkata, pihaknya telah melakukan perancangan rapi ketika PKP lagi bagi bersiap sedia selepas tempoh perintah itu ditamatkan. 

Sementara itu,menurut salah seorang peserta program tersebut, Mohd Fazli Rahim, aktiviti yang dilakukan sepanjang tempoh sebulan itu merupakan pendedahan baharu bukan sahaja kepada dirinya malah kepada keseluruhan peserta terlibat.

Mohd Fazli Rahim (tiga dari kiri) bersama peserta CFBA yang lain

“Sepanjang khuruj bisnes selama 30 hari ini dengan berkampung di sini, kami mendapat ilmu perniagaan secara langsung daripada Coach Fadzil di mana beliau melatih kami menjadi sama macam dirinya yang juga seorang coach,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fazli berkata, sebagai kumpulan pertama yang diberi kepercayaan untuk melatih usahawan lain, mereka akan diberikan sasaran untuk melatih 30 orang usahawan dengan mengetengahkan perniagaan yang terdapat dalam ekosistem Malakat.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here