3 negeri bertukar status PKPB kepada PKPP

0
197
Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA: Tiga lagi negeri iaitu Kedah, Perak dan Negeri Sembilan akan bertukar status daripada negeri di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai 19 Mac ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seluruh negeri Kedah akan bertukar status kepada PKPP kecuali dua daerah iaitu Kuala Muda dan Kulim yang masih kekal PKPB.

“Perak juga diubah kepada PKPP ekoran banyak zon merah sudah kurang manakala zon hijau bertambah menjadi 46 yang meliputi 78 mukim,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Ismail berkata, susulan penurunan kes yang mendadak dengan 67 peratus zon hijau, Negeri Sembilan juga akan diletakkan di bawah pelaksanaan PKPP dengan daerah Seremban masih kekal sebagai zon merah.

Bagaimanapun katanya, lima negeri dan satu Wilayah Persekutuan kekal berstatus PKPB sehingga 31 Mac depan, kerana masih merekodkan banyak zon merah.

Antaranya ialah Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang baru sahaja berubah statusnya daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada PKPB mulai 5 Mac lalu.

Negeri lain yang kekal dengan status PKPB adalah Kelantan dan Sarawak (sehingga 29 Mac depan).

“Dalam pada itu, baki lima negeri lain serta dua Wilayah Persekutuan iaitu Putrajaya dan Labuan, juga mengekalkan status PKPP berkuat kuasa 19 Mac ini sehingga 31 Mac depan,” katanya.

Sementara itu, status PKP di Sabah disambung sehingga dua minggu lagi.

Setakat ini katanya, pergerakan merentas negeri masih dilarang kecuali melalui aktiviti pelancongan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here