4 individu ditahan JAIS, terlibat dalam ajaran meragukan

0
145
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Empat individu termasuk dua orang wanita ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah premis di Hulu Langat, semalam selepas dipercayai terbabit dengan ajaran yang meragukan.

Menurut Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, tiga waran tangkap dikeluarkan terhadap tiga orang yang disyaki serta satu waran geledah premis pada jam 11.20 malam.

“Berikutan dengan itu, JAIS berjaya menahan empat individu iaitu dua lelaki dan dua wanita serta menyita beberapa bahan bukti dari premis dan individu terbabit.

“Semua yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat JAIS untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 7, 9 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kes berkenaan kemudian disebut di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, hari ini dan mahkamah menetapkan jaminan iaitu RM1,000 bagi seorang tertuduh lelaki dengan seorang penjamin dalam kalangan penjawat awam Gred 41.

Selain itu, katanya, passport antarabangsa mereka juga perlu diserah kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Gombak, dua minggu sekali.

Katanya, bagi dua tertuduh wanita, mahkamah menetapkan jaminan bagi setiap tertuduh iaitu seorang penjamin dalam kalangan penjawat awam Gred 48 dan RM3,000; passport antarabangsa diserah kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di PAID Gombak, dua minggu sekali.

Jelasnya, seorang lagi suspek lelaki dilepaskan dengan Bon Jamin Penguatkuasa.

“Sebutan semula kes ditetapkan oleh mahkamah pada 28 Julai depan di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

“Dengan tertangkapnya empat suspek ini, JAIS dijangka dapat menyelesaikan kes membabitkan perbuatan beberapa individu di dalam negeri ini yang disyaki bercanggah dengan ketetapan hukum syarak atau fatwa, penghinaan kepada Al-Quran dan al-Hadith, serta mempersenda, menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here