45 ditahan ingkar PKP terlibat aktiviti pelacuran

0
182
Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Sebanyak 45 orang daripada 451 individu yang ditahan polis atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam terlibat dalam aktiviti berkaitan pelacuran.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 393 individu dikompaun manakala 58 individu lagi direman.

Beliau berkata, sebanyak 3,922 Pasukan Pematuhan melibatkan 16,643 anggota membuat pemantauan di 6,318 buah restoran, pasar raya (4,617), bank (2,703), penjaja (4,133), pasar awam/tani (156), kilang (2,148) dan pejabat kerajaan (1,217).

“Antara kesalahan yang direkodkan adalah gagal menyediakan peralatan merekod butiran diri pelanggan mencatatkan 129 kesalahan, aktiviti pusat hiburan (82), tiada penjarakan fizikal (79), aktiviti pelacuran (75), rentas negeri (28), tidak memakai pelitup muka (49) dan kesalahan premis beroperasi lebih masa tanpa kebenaran (sembilan).

“Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 69,230 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut dipantau adalah tempat ibadah (211), tempat riadah (17,012), terminal pengangkutan darat (3,469), terminal pengangkutan air (1,772) dan terminal pengangkutan udara (1,885).

Ismail Sabri, berkata dalam Operasi Benteng (Op Benteng) pasukan keselamatan menahan 24 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas empat kenderaan darat.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 103 buah bot / kapal di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan.

“Selain itu lima orang PATI turut diusir menerusi tiga aktiviti pengusiran,” katanya.

Ismail Sabri memberitahu, sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 6,875 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 390 kes telah dilaporkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here