6 laporan polis susulan potong babi di tempat pemotongan ayam

0
1399
Kerja-kerja pembersihan dan samak di tempat pemotongan ayam di sebuah pasar raya di Banting, Selangor

CYBERJAYA – Polis menerima enam laporan susulan pekerja sebuah pasar raya di Banting, Selangor memotong daging babi di ruangan pemotongan ayam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, laporan yang dibuat individu dan badan bukan kerajaan (NGO) itu diterima sejak semalam.

“Semua laporan berkenaan telah dirujuk kepada pejabat agama Islam dan siasatan sedang dilakukan.

“Setakat ini polis hanya memantau di premis berkenaan dalam konteks keselamatan. Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pejabat agama akan melakukan siasatan di premis itu,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini.

Semalam tular di media sosial dakwaan mengenai seorang pekerja di pasar raya terbabit memotong daging babi di tempat pemotongan daging ayam.

Isu tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen sehingga pihak pengurusan pasar raya terbabit mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

Susulan isu tular tersebut, pihak pengurusan pasar raya memohon maaf atas kesilapan dari pihak mereka.

Pihak pengurusan pasar raya terbabit memaklumkan peralatan yang digunakan telah diganti, kawasan pemotongan disamak selain pekerja berkenaan diberhentikan kerja serta-merta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here