Ada gerakan pegawai muda mahu jatuhkan Ketua Polis Negara

0
736

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador

SHAH ALAM- Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan gerakan dalaman oleh pegawai muda dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mahu menjatuhkan beliau.

Abdul Hamid berkata, gerakan itu merupakan kartel sama yang mendalangi kartel dalam PDRM yang berhasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.

“Ada usaha untuk mengaibkan, menjatuhkan saya daripada kumpulan ini (kartel). Jadi saya ingin menasihatkan mereka, hentikan perbuatan jijik ini.

“Sedar diri bahawa pasukan ini bukan kita punya, bukan padang permainan kita,” katanya dalam program Sinar Live bersama KPN, Tan Sri Abdul Hamid Bador semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendedahan yang pernah dibuat berhubung gerakan geng kartel dalam PDRM sendiri yang mahu menguasai pasukan keselamatan itu bagi memudahkan mereka melakukan ‘kerja-kerja kotor’.

Melalui laporan Sinar Harian itu, Abdul Hamid menjelaskan, beliau begitu terkesan dengan perkara berkenaan dan berharap kumpulan tersebut segera insaf.

“Ada kumpulan pegawai-pegawai muda yang berkumpul dan mereka bercakap sesuatu…dan tindak-tanduknya begitu.

“Ke arah untuk mencari jalan bagaimana rakan-rakan yang sebayanya dapat naik bersama, cakap tentang perkara tidak baik.

“Jadi saya minta mereka insaf. Sampai umur 60 nanti saya takut tak sempat bertaubat, kita keluar, hilanglah kekebalan baju biru..pakailah baju orang awam.

“Tiada lagi orang nak takut dengan kita sebab baju kita dah tak ada. Masa itu nanti jangan menyesal,” katanya.

Abdul Hamid, 62, dilantik sebagai Ketua Polis Negara secara kontrak selepas bersara bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here