Angkara cemburu, suami tembak isteri hingga mati ketika tidur

0
653
Mayat wanita malang itu disumbat dalam tong dan ditanam sedalam dua meter di sebuah kawasan ladang

JOHOR BAHRU – Angkara cemburu seorang suami sanggup menembak mati isterinya ketika sedang tidur di kediaman mereka di Taman Saujana, Kota Tinggi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu, selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di kediaman berkenaan.

Katanya, kes ini bermula apabila jiran mangsa membuat laporan berkaitan kehilangan ibu dua anak berkenaan, Isnin lalu.

Berikutan itu, katanya, ia membawa kepada penahanan suami wanita berkenaan serta seorang lagi lelaki yang berusia 32 tahun yang juga rakan baiknya, keesokan harinya bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan awal ke atas suami wanita itu, suspek mendakwa isterinya keluar rumah kira-kira 2 pagi, Isnin lalu dan tidak pulang ke sejak itu. “Suspek mendakwa berlaku perselisihan faham dengan isterinya itu sebelum mangsa keluar rumah.

“Bagaimanapun, suami mangsa yang juga seorang pemandu jengkaut akhirnya mengaku membunuh isterinya ketika wanita berkenaan sedang tidur dengan menggunakan senapang angin.

“Mayat wanita malang berkenaan dimasukkan ke dalam tong air berwarna biru bersama kain cadar sebelum ia dibawa ke sebuah ladang serai di Bandar Penawar, lebih 30 kilometer dari kediaman mereka dan ditanam di situ,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Ayob Khan berkata, suspek kemudian menunjukkan lokasi isterinya ditanam, semalam kira-kira jam 10.30 pagi.

Katanya, mayat mangsa yang diisi di dalam tong air itu ditemui tertanam sedalam kira-kira dua meter di ladang serai berkenaan.

“Kita percaya suspek membawa tong air biru itu di dalam pacuan empat roda miliknya ke ladang berkenaan sebelum menggunakan jengkaut bagi menggali lubang bagi menanam tong berkenaan.

“Hasil siasatan lanjut di rumah suspek menemukan selaras senapang angin, selaras senapang patah, 54 butir peluru penabur 12 bore, sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Pajero dan jengkaut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan mendatangkan kecederaan dan pemilikan senjata api.

Ayob Khan berkata, kedua-dua suspek ditahan reman enam hari bermula hari ini hingga Rabu depan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori,jika sabit kesalahan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here