Beberapa negara di Eropah mula tangguh vaksin AstraZeneca

0
382
Gambar hiasan.

CYBERJAYA – Denmark, Norway dan Iceland semalam mengumumkan penangguhan sementara penggunaan vaksin AstraZeneca Covid-19 ekoran kebimbangan selepas beberapa kes kesan pembekuan darah yang dialami penerima suntikan vaksin itu.

Penangguhan itu bermula dengan pengumuman Denmark ekoran beberapa kes pembekuan darah yang serius dilaporkan selepas suntikan vaksin itu. 

Kenyataan Lembaga Kesihatan Denmark menyebut tindakan itu merupakan langkah pencegahan dan kaitan antara kesan pembekuan darah dengan pengambilan vaksin masih belum ditentukan secara sah.

Sehingga 9 Mac, 22 kes pembekuan darah dilaporkan dalam kalangan lebih tiga juta penerima vaksin di kawasan ekonomi Eropah, kata Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA).

Austria pada Isnin lalu mengumumkan langkah yang sama setelah seorang perawat berusia 49 tahun meninggal dunia akibat masalah pembekuan darah yang serius beberapa hari selepas menerima suntikan anti Covid-19 itu.

Empat negara Eropah yang lain termasuk Estonia, Latvia, Lithuania dan Luxemburg juga menangguhkan penggunaan vaksin dari kumpulan sejuta dos yang dikirim ke 17 negara Eropah.

Denmark bagaimanapun menangguhkan penggunaan semua bekalan AstraZeneca, seperti juga Iceland dan Norway dalam pengumuman berikutnya dengan alasan kebimbangan yang serupa.

Kelmarin, EMA mengatakan siasatan awal menunjukkan bahawa kumpulan vaksin AstraZeneca yang digunakan di Austria kemungkinan tidak akan disalahkan atas kematian perawat itu.

“Ini adalah pendekatan yang sangat berhati-hati berdasarkan beberapa laporan terpencil di Eropah,” kata Stephen Evans, seorang profesor pharmacoepidemiology di London School of Hygiene and Tropical Medicine.

“Kita dapati faktor keseimbangan antara risiko dan manfaat masih memihak kepada vaksin,” katanya.

AstraZeneca, sebuah syarikat Anglo-Sweden yang mengembangkan vaksin dengan Universiti Oxford, mempertahankan keselamatan produknya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here