Bekalan telur cukup menjelang Ramadan dan Aidilfitri

0
89
Datuk Rosol Wahid

KUALA BERANG – Kerajaan memberi jaminan bekalan telur di negara ini mencukupi bagi memenuhi permintaan orang ramai menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Jaminan tersebut diberikan susulan penarikan balik telur keluaran sebuah ladang di Jeram, Selangor kerana dicemari bakteria Salmonella Enteriditis (SE) di Singapura.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, isu penarikan balik bekalan telur itu tidak menjejaskan bekalan domestik setakat ini.

“Dalam isu ini, syarikat terbabit memberi jaminan bekalan telur ayam tidak terjejas kerana produk yang dikesan mempunyai bakteria tersebut hanya melibatkan satu ladang sahaja.

“Kilang berkenaan masih mempunyai lima ladang lain untuk bekalan pasaran tempatan,” katanya bagi mengulas mengenai perkembangan semasa bekalan telur di Malaysia.

Menurut Rosol, terdapat 50 syarikat pengeluar telur ayam terbesar di Malaysia termasuk syarikat tersebut dan bekalan di pasaran mencukupi menjelang musim perayaan nanti.

“Jadi pengguna tidak perlu bimbang atau melakukan pembelian telur secara panik,” katanya.

Berdasarkan rekod katanya, secara keseluruhan pengeluaran telur ayam di Malaysia bagi tempoh 1 hingga 7 Mac lalu adalah sebanyak 206 juta biji dengan baki semasa yang belum lagi dijual ialah 69 juta biji.

Dalam pada itu, Rosol mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga telur susulan isu tersebut dan tindakan boleh diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sekiranya mereka didapati melakukan kesalahan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here