Beli syer KoPPIM, pilih rumah atau pendidikan percuma

0
1826
Orang ramai mendaftar sebagai ahli KoPPIM pada hari pelancaran Malakat Mall Masjid Tanah, Melaka.

MASJID TANAH – Pembukaan Malakat Mall Masjid Tanah (MMMT) di sini sejak Sabtu lalu mendapat sokongan luar biasa termasuk jumlah pendaftaran sebagai ahli Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) yang tinggi.

Pengarah Pembangunan Perniagaan Malakat Mall, Mohd. Fazli Rahim berkata, pihaknya menerima lebih daripada 500 pendaftaran pada hari pertama dan jumlah itu dijangka terus meningkat semalam berdasarkan jumlah kehadiran pengunjung.

“Sokongan orang Melaka memang luar biasa! Bukan sahaja datang untuk melihat mall secara lebih dekat, tetapi mereka juga menunjukkan minat yang tinggi pada pendaftaran ahli KoPPIM,’’ katanya keketika ditemui Malakat Tribune semalam.

Mohd. Fazli selaku Setiausaha KoPPIM berkata, pihaknya mensasarkan pendaftaran kira-kira 45,000 ahli KoPPIM di kawasan Masjid Tanah dan sekitar yang akan membantu menyokong memperkasakan eko-sistem ekonomi yang dibangunkan oleh Malakat Mall. 

Katanya, untuk menjadi ahli KoPPIM, orang ramai boleh mendaftar dengan yuran sebanyak RM30 (sekali seumur hidup) dan caruman bulanan sebanyak RM100 (minimum).

“Sasaran utama KoPPIM ialah untuk menyatukan sejuta ahli yang mencarum secara konsisten sebanyak RM100 sebulan bagi membolehkan KoPPIM mempunyai dana yang akan dilaburkan untuk memperkasa ekonomi umat Islam melalui pelaburan strategik.

“Setakat ini kita ada 25,000 ahli dan diharap pembukaan Malakat Mall baru ini akan memberi lebih kefahaman kepada orang ramai tentang kenapa mereka perlu menyokong usaha ini,’’ katanya.

Mohd. Fazli Rahim bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Raudhah Collage di Cyberjaya yang dimiliki oleh kumpulan perniagaan Malakat.
Tawaran memiliki lot rumah percuma di Muslim Village, Serendah, Selangor.

Sementara itu, Mohd Fazli berkata, ahli-ahli KoPPIM juga berpeluang mendapat pendidikan percuma dan lot tanah Muslim Village bagi perbelanjaan minimum RM300 setiap bulan di mana-mana cawangan perniagaan milik Malakat Mall secara ‘istiqamah’.

“Orang ramai boleh memilih sama ada untuk mendapatkan pendidikan percuma di Raudhah College melalui komitmen selama 10 tahun atau mendapatkan lot Muslim Village percuma bagi komitmen 5 tahun.

“Itu adalah sebahagian daripada manfaat yang ditawarkan kepada ahli koperasi selain pembayaran dividen antara 5 peratus hingga 10 peratus dan banyak lagi kelebihan dalam bentuk pengagihan semula keuntungan,’’ katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mengumumkan pendaftaran Ahli Kelab Malakat Mall yang menawarkan sistem tambahan nilai bagi setiap pembelian barang di Malakat Mall.

“Ini tidak sama dengan pendaftaran ahli KoPPIM, ini hanya percuma dan boleh dilakukan dengan memberi maklumat ringkas semasa membuat bayaran di kaunter.

“Bersatu dan bertindak sekarang melalui slogan ‘Spend, Unite, Fund!’. Demi kebangkitan eko-sistem ekonomi Muslim,’’ katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here