Buat laporan palsu kerana enggan bayar denda kad pengenalan hilang

0
107
Disebabkan enggan membayar denda hilang kad pengenalan, polis mengesan taktik segelintir individu yang membuat laporan palsu mendakwa disamun

KAJANG- Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat laporan palsu berhubung kehilangan kad pengenalan atau akan berdepan tuduhan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya mengesan ada individu membuat laporan palsu kerana enggan membayar denda selepas kad pengenalan hilang.

“Disebabkan enggan membayar denda hilang kad pengenalan, polis mengesan taktik segelintir individu yang membuat laporan palsu mendakwa disamun.

“Trend laporan palsu disamun itu dikesan meningkat dan ada yang sudah dituduh di mahkamah.

“Tahun lalu 18 laporan palsu berkaitan itu direkodkan, dengan 13 kes sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan (KK), manakala bakinya masih lagi dalam siasatan.

“Bagi tahun ini, sehingga Februari lalu, sebanyak tujuh laporan palsu berkaitan direkodkan dan daripada jumlah itu, dua kes sudah dituduh di mahkamah mengikut seksyen sama, manakala selebihnya masih disiasat,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Menurut Mohd Zaid, siasatan dijalankan mendapati kebanyakan punca laporan palsu itu kerana individu berkenaan enggan didenda ketika memohon semula kad pengenalan yang hilang akibat kecuaian sendiri.

Sehubungan itu, Mohd Zaid memberi amaran agar tidak membuat laporan palsu jika enggan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 182 KK yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here