Covid-19: 2 kes pertama mutasi baharu Nigeria dikesan di Malaysia

0
87
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatanb(KKM) menemui dua kes pertama individu yang dijangkiti Varian Nigeria SARS-CoV-2 atau lebih dikenali sebagai B1.525 di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes berkenaan dikesan daripada dua warganegara asing yang tiba dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan didapati positif Covid-19 melalui ujian calitan.

Berikutan itu, katanya, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) kemudian menjalankan penjujukan genom penuh selepas mengambil kira sejarah perjalanan individu terbabit.

“Ini termasuk mutasi ‘spike protein’ E484K, Q677H, F888L dan rangkaian ‘protein deletions’ serupa yang dilihat dalam varian UK B.1.1.7. Mutasi ‘spike protein’ E484K juga mendapat perhatian kerana ia dilaporkan dapat menghindari sistem imunisasi.

“Varian Nigeria yang dikenali sebagai B.1.525, pertama kali dikesan di United Kingdom (UK) dan Nigeria pada Disember tahun lalu.

“Varian ini juga boleh menyebabkan peningkatan dalam kebolehjangkitan serta kemungkinan penurunan tindak balas imunisasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, KKM melalui IMR dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) akan sentiasa memantau perkembangan mutasi Nigeria itu dan akan memaklumkan masyarakat umum dari semasa ke semasa.

Katanya, walaupun program vaksinasi sedang dilaksanakan, tindakan kesihatan awam masih perlu diamalkan kerana imuniti kelompak masih belum tercapai.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka terutamanya di tempat awam dan menjaga penjarakan fizikal setiap masa.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here