Covid-19: KKM kesan 3 kluster baharu libatkan institusi pendidikan

0
140
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan tiga kluster baharu yang melibatkan institusi pendidikan termasuk sebuah sekolah di Kelantan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, tiga kluster tersebut ialah kluster Paloh Rambai di Kelantan; kluster Merinding di Labuan dan kluster Persiaran Maktab di Selangor.

Beliau berkata, ini menjadikan sejumlah 811 kluster Covid-19 telah dilaporkan daripada 1 Januari sehingga 25 Mac lalu melibatkan pelajar institusi pendidikan.

“KKM menyambut baik komitmen Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memastikan para pelajar tidak ketinggalan dan dapat mengikuti pembelajaran secara berterusan dalam keadaan yang selamat.

“Oleh itu KKM ingin mengingatkan semua pihak terutamanya para pentadbir, para guru, ibu bapa atau penjaga, pengusaha kantin, pemandu kenderaan sekolah, serta para pelajar untuk sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut menasihatkan semua pihak supaya memakai pelitup muka pada setiap masa;
memastikan penjarakan sosial para pelajar dan guru di dalam sesebuah bilik darjah, semasa aktiviti di luar bilik darjah, dan semasa pulang dari sekolah dan sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri.

“Semua warga sekolah perlu memastikan bahawa mereka sihat dan tidak bergejala semasa hadir ke sekolah.

“Bagi sekolah-sekolah dengan pelaporan jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga sekolah, KPM perlu mempertimbangkan penutupan sekolah tersebut dengan segera bagi tujuan sanitasi dan untuk mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 kepada warga sekolah yang lain,” ujarnya.

Bermula 20 Januari 2021, KPM telah mengumumkan pembukaan semula institusi pendidikan secara bersemuka bagi para pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), termasuk Murid Berkeperluan Khas (MBK) secara berfasa.

Pada 1 Mac lalu, pembukaan ini diperluaskan kepada sekolah rendah dan pra-sekolah.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here