Cubaan bawa keluar Musang King tumpas

0
194
Maqis

SEPANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menggagalkan cubaan membawa keluar durian jenis musang king melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Pemangku Pengarah Maqis Selangor, Zamri Hashim berkata, hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan pada jam 12.30 tengah hari itu mendapati empat kotak yang dibawa seorang lelaki tempatan itu mengandungi 16 biji buah durian seberat 56 kilogram.

“Siasatan mendapati durian bernilai RM6,000 itu dipercayai untuk dihantar kepada majikannya di Indonesia.

“Kesemua durian tersebut dirampas kerana gagal mengemukakan permit eksport dan sijil fitosanitasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perbuatan mengeksport tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah atau mikroorganisma tanpa permit adalah salah mengikut Seksyen 11(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Jelasnya, jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali.

“Maqis akan sentiasa tegas, cekap dan teliti menjalankan aktiviti penguatkuasaan di semua pintu masuk seluruh Malaysia.

“Langkah ini bagi menjamin keselamatan pertanian dan makanan negara selain memastikan makanan yang keluar ke Malaysia mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here