[VIDEO] Gagal temuduga, punca jadi usahawan tani berjaya

0
289
Mohd Fikri Sapeni yang kini menjadi usahawan tani berjaya di Jerantut, Pahang hasil daripada bantuan dan bimbingan pihak RISDA.

TEKAD untuk bekerja sendiri selepas beberapa kali gagal dalam sesi temubual membuatkan anak muda di Kampung Chap, Jerantut, Pahang bersyukur dengan keputusannya untuk ‘berbudi pada tanah’.

Walaupun memiliki pendidikan dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal, tekadnya melupakan impian bekerja di ibu kota ternyata tidak sia-sia apabila kebun yang diusahakan secara kecil-kecilan kini berkembang menjadi ladang dengan keluasan kira-kira 10 ekar.

Bidang pertanian jadi pilihan selepas gagal dapatkan kerja yang diidamkan

Pengarah Urusan Semeledot Global Solution & Services ( Semeledot), Mohd Fikri Sapeni berkata, syarikatnya adalah antara pengeluar hasil pertanian utama di daerah itu khususnya sayur-sayuran dengan kapasiti 20,000 polibeg semusim.

Bekas graduan Universiti Sultan Azlan Shah (Unisas) itu berkata, beliau memilih bidang pertanian selepas mengikuti Program Inkubasi Usahawan Tani Universiti Putra Malaysia pada 2012.

Laluan kerjaya yang dipilih itu katanya telah ditetapkan Allah, selepas beberapa kali gagal dalam sesi temuduga untuk mendapatkan kerja di Kuala Lumpur dalam bidang kejuruteraan.

Katanya, selepas kira-kira empat tahun menunggu peluang kerjaya dalam bidang pengajiannya, beliau membuat keputusan untuk mengusahakan tanah yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

“Di Kampung saya tidak ada banyak pilihan ketika itu. Saya bermula dengan kerja di ladang kelapa sawit selama tiga tahun dengan gaji kira-kira RM1,000 sebulan.

“Saya juga pernah bekerja sebagai buruh binaan. Kerja memang berat, tidak kira hujan atau panas terik saya teruskan demi untuk tidak menganggur,” katanya.

Mohd Fikri berkata, langkah yang lebih serius dalam pertanian bermula selepas beliau berkunjung ke Ekspo MAHA di MAEP Serdang, pada 2014 apabila ditawar peluang mengikuti Program Inkubasi Usahawan Tani Universiti Putra Malaysia.

“Saya layak mengikuti program pada 2015. Daripada program itu saya nampak peluang dan ruang bahawa pertanian ini boleh jadi kerjaya yang memberi pulangan yang baik

“Sejak itu saya mula jatuh cinta pada bidang pertanian,” katanya.

Mohd Fikri Sapeni dibantu 7 pekerja menguruskan ladang seluas lebih 7 ekar.
Kapasiti ladang yang mampu mengeluarkan hasil sehingga 40 tan setiap bulan.

Namun dua tahun pertama bukan laluan yang mudah untuk Mohd Fikri kerana terpaksa menempuh ujian sebenar sebagai seorang petani.

Serangan serangga perosak, tanaman tidak menjadi dan kekurangan modal menyebabkan beliau hampir mengalah, namun berkat sokongan dan doa kedua ibu bapa, beliau meneruskan usaha.

“Saya sentiasa percaya setiap usaha yang dilakukan pasti akan dibalas dengan imbuhan yang setimpal,” ujar beliau.

Pada akhir tahun 2017, usaha yang dilakukan anak pekebun kecil (getah) itu mendapat ‘pengiktirafan’ pertama apabila menerima suntikan perniagaan dari RISDA iaitu Geran Aktiviti Tambahan dengan permulaan sebanyak RM20,000.

Berbekalkan modal bantuan yang diterima, beliau memulakan ladang fertegasi yang pertama.

Katanya, peluang mengembangkan perniagaan datang sekali lagi apabila ditawarkan untuk mengikuti pertandingan Cabaran Perniagaan RISDA pada 2019,

Dalam cabaran itu, Mohd Fikri layak ke peringkat akhir sekaligus melayakkannya menerima tambahan geran berjumlah RM50,000 yang digunakan untuk membuka tapak pertanian baharu seluas 7 ekar.

Berbekalkan semangat yang tidak pernah luntur, beliau yang kini dibantu oleh 7 orang kakitangan, mengusahakan 3 tapak ladang dengan kapasiti pengeluaran sehingga 40 tan setiap bulan.

Mohd Fikri Sapeni memasarkan hasil pertanian ke daerah Jerantut termasuk ke beberapa pasar borong di Selangor dan Kuala Lumpur.

Pasaran produk pertaniannya kini dipasarkan di kedai-kedai runcit di sekitar Jerantut, kedai makan, pasar raya dan beberapa pasar borong di Selangor dan Kuala Lumpur.

Antara pencapaian yang pernah diterima oleh usahawan muda ini adalah pengiktirafan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Mohd Fikri berkata, walaupun masih baru dalam bidang itu, beliau mempunyai hasrat dan impian yang besar untuk melahirkan lebih ramai usahawan terutama dalam kalangan generasi muda sepertinya sekaligus memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

“Pada kesempatan ini saya ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak RISDA yang banyak membantu saya dari segi bantuan kewangan dan bimbingan dalam bidang pertanian dan perniagaan,” katanya.

Mohd Fikri Sapeni bersama ibu dan bapanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Chap, Jerantut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here