Hampir 1 tan syabu dari Thailand diseludup masuk melalui Kelantan

0
101
Ketua Polis Negara menunjukkan syabu yang dirampas oleh JSJN Bukit Aman

SHAH ALAM- Hampir 1 tan syabu bernilai RM35.4 juta dari Thailand diseludup masuk melalui Kelantan sebelum dibawa ke Lembah Klang atau lebih tepat di Kajang, Selangor.

Itu merupakan modus operandi tokan dadah sebelum berjaya ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah rumah yang dijadikan stor untuk menyimpan dadah di Kajang pada 17 Mac lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, dalam kes itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menahan tiga lelaki.

“Seorang lelaki merupakan tuan rumah manakala, dua lagi bertindak sebagai  pengangkut atau transporter. Ketiga-tiga mereka berusia 37 hingga 42 tahun. 

“Dalam kes ini, kita berjaya merampas hampir 1 tan syabu bernilai RM35.4 juta dengan dadah itu boleh digunakan seramai 4.9 juta penagih.

“Sindiket ini telah bergerak aktif sejak Januari lalu dan menyeludup syabu dari Thailand ke Lembah Klang melalui Kelantan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Abdul Hamid, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid  bimbang Malaysia akan menjadi pusat pelancongan untuk mendapatkan dadah.

“JSJN di bawah pimpinan pengarahnya, Datuk Razarudin Husain dan pegawai berhempas pulas setiap minggu dengan ada sahaja rampasan jutaan ringgit.

“Operasi digandakan di premis hiburan dan tiada kompromi dengan dadah begitu laris di kalangan pengunjung yang hendak berhibur sambil mengambil dadah. 

“‘Tauke’ pusat hiburan marah dengan polis dan hasil ujian saringan mendapati 95 peratus positif dadah di pusat hiburan.

“Jadi, sekiranya pihak polis tidak meningkatkan tindakan, saya bimbang satu hari memang kita menjadi tumpuan dan dijadikan pusat pelancongan untuk menghisap dadah,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sepanjang tempoh Januari hingga Februari lalu, sebanyak 19,352 individu telah diberjaya ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah selain 52 sindiket dadah berjaya ditumpaskan melibatkan 217 individu.

“Keseluruhan dadah yang berjaya dirampas dianggarkan bernilai RM245.22juta melibatkan 70,193.73 kilogram (kg) dan 9,752 liter cecair dadah. Rampasan tertinggi adalah syabu seberat 1,921.31 kg, erimin 5 ( 1,889.36kg), ganja (731.4kg) dan daun ketum (61,716.58 kg),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here