Hutang negara masih di bawah had statutori – Tengku Zafrul

0
104
Menara Maybank. Gambar fail

CYBERJAYA – Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz menegaskan hutang kerajaan masih di bawah had statutori 60 peratus mengikut undang-undang instrumen hutang yang diterbitkan kerajaan.

Beliau berkata, ia merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB).

“Jumlah hutang bagi tiga instrumen terbitan kerajaan ini pada akhir Disember 2020 adalah 58 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK). Pada akhir Februari 2021, jumlah hutang ini adalah 54 peratus KDNK dan dijangka mencecah 58.5 peratus pada akhir tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, instrumen hutang lain pula mempunyai had statutori lain iaitu RM35 bilion untuk pinjaman luar negeri dan RM10 bilion untuk hutang Bil Perbendaharaan Malaysia. ⠀

Jelasnya, jumlah hutang kerajaan untuk kedua-dua instrumen itu masih di bawah had statutori. ⠀

“Apabila ada pihak merujuk kepada hutang negara mencecah 62 peratus pada hujung 2020, ia sebenarnya adalah rangkuman semua hutang berkenaan.

“Tapi setiap komponen ada had hutangnya sendiri dan ia tidak pernah melepasi had hutang mengikut undang-undang,” jelasnya.

Menurut Tengku Zafrul lagi, keutamaan kerajaan pada masa ini adalah membantu rakyat hadapi menghadapi cabaran Covid-19⠀

Beliau berkata,alam keadaan ekonomi biasa, kerajaan perlu menyeimbangkan di antara perbelanjaan untuk rakyat dan kadar hutang negara namun, apabila negara berada dalam krisis ekonomi, keperluan perbelanjaan untuk rakyat akan lebih besar menyebabkan paras hutang juga meningkat. ⠀

“Ekoran itu, kerajaan telah meletakkan kepentingan untuk membantu rakyat sebagai keutamaan, termasuk dengan menyuntik sejumlah RM340 bilion ke dalam ekonomi melalui beberapa siri pakej stimulus. Ia menaikkan hutang tanpa melepasi had statutori seperti yang telah dijelaskan,” katanya.

Menyentuh mengenai hutang legasi yang buruk, katanya, terdapat hutang yang baik dan hutang yang buruk.

Katanya, hutang yang baik adalah seperti pinjaman yang dimbil untuk menampung kos inisiatif bagi membantu rakyat dan menyelamatkan pekerjaan seperti membangunkan infrastruktur untuk rakyat.

“Hutang yang buruk adalah hutang yang tidak membawa sebarang faedah ekonomi atau manfaat untuk rakyat hari ini. Ada sebahagian hutang yang perlu kerajaan urus hari ini disebabkan bebanan hutang yang buruk tinggalan pentadbiran terdahulu.⠀

“Walaupun hutang ini bukan hutang yang dibuat kerajaan hari ini, tetapi ia tetap hutang yang perlu kita uruskan. Kesannya memang besar tetapi kita cuba uruskan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here