Individu potong barisan suntikan vaksin berdepan denda RM10,000 atau penjara

0
73
Sehingga hari ini Kementerian Kesihatan tidak menerima sebarang laporan berhubung tindakan memotong barisan

CYBERJAYA – Mana-mana individu yang memotong barisan untuk menjadi penerima awal suntikan vaksin Covid-19 akan dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, tindakan berkenaan boleh diambil dengan arahan Ketua Pengarah Kesihatan di bawah Seksyen 21A – Arahan Ketua Pengarah.

Beliau berkata, perkara berkenaan termaktub dalam Seksyen 31 Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, yang berkuat kuasa 11 Mac ini.

“Peruntukan baharu ini adalah sebagai punca kuasa untuk mengenakan penalti di bawah Akta 342 bagi mana-mana kesalahan yang tidak dinyatakan di dalamnya.

“Peraturan di bawah subseksyen ini kita boleh menetapkan apa-apa perbuatan yang melanggar peraturan untuk menjadi suatu kesalahan dan boleh dikenakan penalti denda,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Dr. Adham, sehingga hari ini Kementerian Kesihatan tidak menerima sebarang laporan berhubung tindakan memotong barisan dan apa yang ada ketika ini hanya khabar angin serta dakwaan sahaja.

Sebelum ini, tular mesej di media sosial mendakwa terdapat 200 Ahli Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan cuba memotong barisan untuk menjadi penerima terawal suntikan vaksin Covid-19.

Bagaimanapun, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin memberi jaminan isu berkenaan tidak akan timbul setelah kerajaan mewujudkan Garis Panduan Penetapan Senarai Barisan Petugas Hadapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here