Isu kalimah: Muafakat sambut baik rayuan kerajaan

0
60
Muafakat Nasional. – Gambar hiasan.

CYBERJAYA – Muafakat Nasional (MN) Selangor menyambut baik tindakan kerajaan mengemukakan rayuan berhubung isu kebenaran penggunaan kalimah Allah dalam masyarakat bukan Islam.

Pengerusi Bersama MN Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Tan Sri Noh Omar berkata, permohonan itu tepat pada masanya berikutan keresahan majoriti umat Islam selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu.

Beliau berkata, keputusan membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah boleh menggugat sensitiviti dan boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

“Semoga rayuan ini berjaya dipertimbangkan dan mendapat kelulusan paling saksama agar rakyat Malaysia dapat kekal hidup aman damai

tanpa mencabar sebarang status quo dan amalan yang ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu membenarkan penggunaan kalimah ALLAH dan tiga lagi perkataan lain iaitu Baitullah, Kaabah dan solat oleh penganut Kristian seluruh negara dalam penerbitan pendidikan agama berkenaan.

Bagaimanapun, ia perlu disertakan dengan penafian hanya untuk orang Kristian dan lambang salib di hadapan kulit buku.

Susulan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia turut bertindak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan.

Dalam pada itu, kenyataan bersama berkata, MN Selangor berpendirian bahawa keharmonian antara kaum dan agama di negara ini perlu dipelihara dengan sebaiknya tanpa memberi ruang kepada perkara yang dapat memporak-perandakan kestabilan sedia ada.

“Islam sebagai agama rasmi Persekutuan perlulah sentiasa dihormati oleh semua pihak dan segala amalan agama suci ini tidak seharusnya digugat termasuk melibatkan isu hak penggunaan kalimah Allah ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here