Isu kalimah: Pembela tawar khidmat guaman, kajian

0
108
Aminuddin Yahaya

CYBERJAYA – Pertubuhan Pembela-Pembela Islam Malaysia (Pembela) menawarkan khidmat pasukan peguam dan kajian berhubung kes penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama Kristian.

Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya akan cuba berusaha untuk bekerjasama dengan KDN bagi menjayakan agenda ini dengan penuh strategik.

“Malah, jika perlu, kita bersedia untuk menawarkan penglibatan pasukan peguam dan pasukan kajian kita untuk terlibat secara langsung atau tidak langsung untuk perkara ini.

“Ayuhlah, kita ketepikan dahulu semua sentimen dan kepentingan politik kepartian sebentar dan kita bersatu padu dalam isu ini. Kita masih belum benar-benar kalah lagi kerana masih ada ruang-ruang perundangan yang sebenarnya menjadi hak yang dijamin.

“Saya yakin, jika persidangan Ahad lalu ‘hambar’, maka pihak atasan akan berat untuk bertindak kerana kita hidup pada zaman ‘viral’ di media sosial dan akhbar massa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hasrat yang disuarakan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu adalah susulan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes ini.

Pada masa sama, beliau merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada orang ramai melalui persatuan-persatuan dan NGO-NGO yang bersama-sama dalam isu ini – terutamanya yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam persidangan kelmarin.

“Perjalanan masih jauh, perjuangan masih panjang dan penuh berliku. Ini perjuangan membela agama yang perlu dukungan dan penglibatan seluruh umat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here