Jemaah haji yang divaksin bergantung kepada kuota Malaysia

0
27
Zulkifli ketika melancarkan Kit Rakan Masjid Hospital (Ramah) dan Penyampaian Kerusi Roda Pesakit Hospital di Kompleks Islam di Putrajaya

CYBERJAYA – Bilangan bakal jemaah haji yang akan menerima vaksin Covid-19 bergantung kepada jumlah kuota rasmi bilangan jemaah yang diberikan kepada Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, jumlah kuota haji itu akan dimuktamadkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Bagaimanapun katanya, ketika ini masih terlalu awal untuk diberikan jawapan berhubung isu vaksinasi tersebut kerana Malaysia masih lagi dimaklumkan tentang jumlah kuota haji.

“Perkara seperti ini agak terlalu awal dan akan saya bincang satu persatu dengan kerajaan Arab Saudi serta menantikan keputusan rundingan daripada pihak negara terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Kit Rakan Masjid Hospital (Ramah) dan Penyampaian Kerusi Roda Pesakit Hospital di Kompleks Islam di Putrajaya hari ini.

Semalam, kerajaan Arab Saudi mewajibkan bakal jemaah haji pada tahun ini mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatannya, Dr Tawfiq al-Rabiah, berkata vaksin Covid-19 adalah wajib dan ia sebahagian daripada syarat utama untuk semua jemaah haji yang akan menunaikan ibadah itu Julai nanti.

Menurut Zulkifli, sehingga kini, beliau sendiri belum lagi mendapat kenyataan rasmi terus daripada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Mohammad Saleh Tahir Benten.

“Saya sedia terima apa sahaja keputusan dan sehingga kini tiada apa-apa lagi, bukan sahaja Malaysia,malah negara dari seluruh dunia belum tahu kuota jemaah haji mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here