Kakitangan di Kedutaan Korea Utara diarahkan tinggalkan Malaysia dalam tempoh 48 jam

0
250
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

CYBERJAYA – Semua staf diplomatik dan tanggungan mereka di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur diarahkan untuk meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam dari hari ini selepas negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Malaysia amat kesal dengan keputusan Korea Utara untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

“Malaysia mengecam keputusan tersebut sebagai tidak ramah, tidak konstruktif serta tidak menghormati semangat saling menghormati dan hubungan baik sesama anggota masyarakat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Korea Utara hari ini telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas seorang rakyatnya yang menetap di sini bakal diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Kementerian Luar Korea Utara dalam satu kenyataan rasmi yang disiarkan agensi berita negara itu mengatakan Malaysia telah melakukan jenayah yang tidak boleh dimaafkan dan menghantar rakyatnya yang tidak bersalah ke Amerika Syarikat (AS) dengan cara paksaan.

Dalam pada itu, menurut Hishammuddin, Malaysia menganggap Korea Utara sebagai negara sahabat sejak tahun 1973 lagi.

Malah, katanya, Malaysia sentiasa menyokong negara itu meskipun ketika waktu sukar dan ketika kes pembunuhan Kim Jong Nam berlaku pada 2017 di negara ini.

Menurut Hishammuddin, sebagai negara yang menjunjung tinggi undang-undang, tindakan mengekstradisi rakyatnya ke AS telah mengikut lunas undang-undang.

Katanya, tindakan untuk mengekstradisi Mun Chol Myong dibuat selepas proses undang-undang dilakukan.

“Chol Myong ditahan pada 14 Mac 2019 mengikut Seksyen 13(1)(b) Akta Ekstradisi 1992 selepas didakwa terlibat dalam pengubahsuaian wang haram termasuk mencabuli persetujuan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tindakan yang dilakukanya juga merupakan satu kesalahan di Malaysia.

“Permohonan Chon Myong untuk mendapatkan perintah habeas korpus atau dilepaskan daripada tahanan kerana tidak mengikut undang-undang di Mahkamah Tinggi pada 29 Disember 2019 dan Mahkamah Persekutuan pada 8 Oktober 2020 ditolak selepas mahkamah mendapati permohonannya tidak adil dan gagal untuk memenuhi permintaan di bawah Akta Ekstradisi,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here