Kalimah Allah: keputusan Mahkamah Tinggi buka pintu murtad dan pemikiran pluralisme

0
390
Aminuddin Yahaya dalam sidang akhbar berhubung penggunaan Kalimah Allah hari ini

CYBERJAYA – Keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan membabitkan agama Kristian akan menimbulkan kekeliruan dan membuka pintu murtad atau pemikiran pluralisme.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, kekeliruan itu bukan sahaja membabitkan umat Islam sahaja malah, kepada penganut agama lain juga.

Beliau berkata, keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi itu juga jelas bercanggah dengan keputusan yang diputuskan ‘precedent’ Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

“Keputusan itu akan memberi ruang kepada penyalahgunaan kalimah Allah yang suci dan perkara berkaitan untuk dihina. Ia juga akan menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam dan bukan Islam.

“Ia akan menyebabkan pintu murtad atau pemikiran pluralisme akan terbuka luas. Keputusan ini menyebabkan umat Islam hilang keyakinan kepada Majlis-Majlis Agama Islam yang dilihat lesu dalam menjaga kesucian Islam.

“Pembela menyelar pihak yang bersungguh-sungguh menuntut perkara ini kerana mereka tidak sensitif dan sengaja mahu menimbulkan perselisihan agama,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain, dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka.

Selain kalimah Allah, Mahkamah Tinggi semalam juga memutuskan tiga perkataan lain iaitu solat, Kaabah dan Baitullah yang sinonim digunakan oleh umat Islam juga dibenarkan kepada orang Kristian.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, Pembela berpendirian tegas menghalang cubaan mana-mana pihak yang menyalah guna kalimah suci Allah sesuai dengan sumpah Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga kesucian agama Islam serta sejajar dengan perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan; kawalan pengembangan doktrin, selain Islam kepada orang Islam.

“Mana-mana usaha untuk mengelirukan umat Islam di negara ini harus diambil tindakan yang sewajarnya oleh pihak berkuasa.

“Pembela berpandangan takrifan kalimah Allah selain dari maksud seperti terkandung dalam surah al-Ikhlas boleh mengundang kepada mencemar kesucian kalimah Allah dan tertakluk pada perkara 11 (5) Perlembagaan Persekutuan: halangan kepada pertentangan undang-undang am berhubung ketenteraman awam,” katanya.

Selain itu, Aminuddin turut mempersoalkan pihak berkaitan mengenai jaminan sekiranya kalimah Allah tidak disalahguna sepertimana yang dibenarkan oleh penghakiman mahkamah untuk hal dalaman dan pendidikan penganut Kristian.

“Kegagalan menghormati hal ini akan mengakibatkan percanggahan keputusan perundangan dan bidang kuasa.

“Pembela juga ingin mengingatkan keputusan ‘precedent’ sebelum ini sudah mengambilkira kemajmukan masyarakat di negara ini serta kedudukan Islam yang utuh didalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, rentetan isu berkenaan, Pembela akan mengadakan satu perjumpaan NGO-NGO Islam pada Ahad ini kerana banyak pihak telah menyampaikan rasa gusar dan kecewa mereka dengan perkembangan ini.

“Justeru itu, Pembela akan mengadakan satu perjumpaan tergempar NGO Islam pada hari Ahad ini untuk memastikan semua bentuk cabaran yang cuba menghakis kedaulatan Islam dapat diuruskan dan ditangani mengikut lunas undang-undang yang dibenarkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here