Kalimah Allah: Kerajaan digesa benarkan kes ke Mahkamah Rayuan

0
183
Mesyuarat MN yang diadakan malam tadi.

KUALA LUMPUR – Muafakat Nasional (MN) menggesa kerajaan Persekutuan membawa kes kebenaran bukan Islam menggunakan kalimah Allah ke penghakiman Mahkamah Rayuan.

MN dalam mesyuarat bulanan malam tadi berkata, mereka memandang serius keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah-kalimah Islam oleh orang bukan Islam dalam penerbitan masing-masing.

“Mesyuarat hari ini juga menggesa pihak kerajaan Persekutuan untuk mengambil inisiatif menyegerakan pelaksanaan pengharmonian sistem perundangan negara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan,” kata MN dalam kenyataan.

Semalam, media melaporkan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Selain perkataan Allah, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Bagaimanapun ia perlu disertakan dengan penafian, ‘hanya untuk orang Kristian’ dan lambang salib di hadapan kulit buku.

Hakim Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan perisytiharan yang dibuat oleh seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill bahawa hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dihalang dengan sekatan atau larangan pengimportan bahan pendidikan.

Ketika membaca penghakimannya, Nor Bee berkata, mahkamah membenarkan deklarasi dalam mengamal kebebasan beragama yang terlindung dalam Perkara 3, 8, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, suatu deklarasi berdasarkan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan bahawa pemohon dijamin hak kesamarataan antara warganegara antara lain atas alasan keagamaan dalam pentadbiran undang-undang.

“Selain itu, deklarasi bahawa arahan kerajaan pada 5 Disember 1986 adalah salah di sisi undang-undang dan tidak berperlembagaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Sementara itu, dalam kenyataan empat perenggan tersebut, mesyuarat juga bersetuju untuk  memperkukuhkan MN, iaitu kerjasama antara UMNO dan Pas. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here