Kalimah Allah: Titah Sultan Selangor buktikan kegusaran umat Islam berasas

0
81
Aminuddin Yahaya

CYBERJAYA – Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj berhubung isu kalimah Allah membuktikan bahawa kegusaran umat Islam terhadap penyalahgunaan kalimah suci tersebut oleh bukan Islam adalah berasas.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, titah itu sekaligus menyangkal pihak-pihak yang cuba memperlekeh-lekeh umat Islam kononnya kerisauan umat Islam tidak berasas.

“Baginda bertitah, “apa gunanya beta menjadi ketua Agama Islam Selangor jika beta gagal untuk menjamin kemuliaan kalimah Allah dari dicemari oleh pihak yang mempunyai agenda tersendiri” adalah suatu mesej yang kuat dan tidak boleh diambil ringan.

“Titah ini mengabsahkan lagi kegusaran dan tersinggungnya hati umat Islam dalam isu ini sekaligus menyangkal pihak-pihak yang cuba memperlekeh-lekeh umat Islam kononnya kerisauan kami tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Sultan Sharafuddin bertitah bahawa kalimah Allah hanya hak eksklusif agama Islam.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin

Dalam pada itu, Aminuddin turut melahirkan kelegaaan apabila salah satu daripada enam resolusi Persidangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO-NGO) Islam dalam isu itu sudah hampir tercapai, iaitu agar Majlis Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam setiap negeri mengambil tindakan dalam isu berkenaan.

Katanya, sebelum itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga telah bertitah perkara yang sama dengan tegas dan mengarahkan tindakan-tindakan yang sepatutnya diambil segera.

“InsyaAllah, kita pasti sultan-sultan di negeri-negeri lain juga bakal menyusul untuk mengeluarkan titah yang sama dalam isu ini dengan tegas demi mempertahankan kesucian dan kedaulatan Islam di negeri masing-masing sekaligus di seluruh Malaysia, sebagai agama negara.

“Patik menjunjung kasih dan menyokong titah tuanku ini yang bersungguh-sungguh menunaikan amanah sebagai Ketua Agama Islam negeri. Rakyat jelata berasa sungguh lega dan gembira sekali atas titah tuanku ini,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here