
MASJID TANAH- Pelanggan Malakat Mall Masjid Tanah (MMMT) tidak akan berdepan masalah parkir selepas ini apabila satu kawasan khas untuk parkir pelanggan akan dibuka minggu hadapan.
Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, pihaknya baharu sahaja mendapat kawasan untuk dijadikan parkir dan ketika ini proses selenggara sedang dilakukan di kawasan berkenaan.

“Kita baru sahaja dapat tanah, Insya-Allah dalam masa seminggu lagi dapat dibuka kepada pelanggan Malakat Mall Masjid Tanah,” katanya ketika siaran langsung di laman Facebooknya hari ini.
Sementara itu, Mohd. Fadzil atau lebih dikenali Coach Fadzil berkata, beliau sangat terharu dengan sokongan warga Masjid Tanah yang tidak putus-putus memberi sokongan kepada MMMT.
Mohd. Fadzil berkata, walaupun masih lagi banyak kelemahan, pelanggan tidak putus-putus datang sejak hari pertama pembukaan dan memberi sokongan luar biasa kepada MMMT.

“Alhamdulillah…hari ini kita di Malakat Mall Masjid Tanah bina ‘mall’ komuniti, bina kuasa dan pulangkan balik kepada komuniti. Terima kasih atas sokongan semua warga Masjid Tanah,” katanya.
Selain itu katanya, antara bahagian yang paling mendapat perhatian utama di MMMT ialah Kedai Rakyat 2.2 selain bahagian barangan basah di Malakat Grocer.
“Hari ini hari Isnin, tetapi jika dilihat jumlah pelanggan ia sama seperti hari minggu. Alhamdulilllah…terima kasih kepada semua yang datang ke Malakat Mall Masjid Tanah,” katanya.
