Kebenaran khas kepada pengembara menjalani kuarantin di rumah dibuat sejak 12 Mac lalu

0
143
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Bermula 12 Mac lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) telah membenarkan pengembara yang telah mendapat imunisasi Covid-19 yang lengkap untuk dikecualikan daripada menjalani proses kuarantin di stesen kuarantin sekiranya membuat permohonan rasmi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kriteria yang digunapakai dalam penilaian risiko itu termasuk bukti telah mengambil vaksin Covid-19 yang lengkap, pengembara dari negara yang berisiko rendah, mempunyai tempat kediaman yang bersesuaian untuk pelaksanaan kuarantin termasuk tiada risiko pendedahan jangkitan kepada ahli keluarga dan keputusan ujian pengesanan Covid-19 yang negatif.

“Bagi pengembara yang memenuhi kriteria di atas, mereka boleh diberi kelonggaran untuk menjalani perintah kuarantin wajib di tempat kediaman namun tertakluk kepada syarat-syarat kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan semasa dalam tempoh kuarantin ini bagi memastikan jangkitan Covid-19 tidak menular kepada orang lain.

“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan Covid-19 dalam dan luar negara di mana saringan jangkitan penyakit ini di kalangan pengembara dari luar negara turut diteruskan di semua Pintu Masuk Antarabangsa Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, sejak 1 Januari hingga 27 Mac lalu, sebanyak 2,743 permohonan untuk kuarantin di tempat kediaman dan pengecualian kuarantin di stesen kuarantin telah diterima.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 409 permohonan diluluskan untuk menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman.

Beliau berkata, paling banyak permohonan yang diluluskan ialah disebabkan masalah kesihatan iaitu sebanyak 138 orang diikuti pengembara yang mempunyai penjaga yang mengalami masalah kesihatan (109 orang) dan 92 individu lain dipertimbangkan setelah penilaian risiko dijalankan.

“Bagi mereka yang memohon untuk melawat ahli keluarga yang sakit atau menghadiri pengkebumian ahli keluarga yang meninggal dunia, pengembara (Person Under Surveillance – PUS) tersebut akan diberi pelepasan masa (time-off) dan perlu kembali semula ke stesen kuarantin untuk memenuhi tempoh wajib kuarantin.

“Semua PUS tersebut dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat oleh KKM semasa tempoh ziarah atau lawatan ini. Sementara itu, kenderaan dan pengiring untuk lawatan tersebut diuruskan di stesen kuarantin oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here