Kembalikan kegemilangan ekonomi Melaka

0
179

CYBERJAYA – Umat Islam di negara ini perlu bangkit dan keluar daripada ‘penjajahan’ ekonomi yang dikuasai syarikat-syarikat asing yang sejak sekian lama memerah hasil kekayaan negara.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, usaha untuk keluar daripada penjajahan ekonomi yang berlaku ketika ini bagaimanapun tidak akan berjaya sekiranya umat Islam tidak bersiap sedia dengan eko-sistem ekonomi mereka sendiri.

“Apa yang saya nak sampaikan adalah satu kesedaran bahawa masa ini adalah titik penting dalam pembangunan ekonomi kita. 

“Bagaimana untuk kembalikan kuasa ekonomi kita? Gunakan kuasa sebagai pengguna. Satukan ‘kerisauan’ kita pada penjajahan ekonomi untuk kembali kepada ekosistem perniagaan Islam,’’ katanya dalam sesi Live Facebook Malakat Mall dari Masjid Tanah hari ini.

Mohd. Fadzil Hashim

Mohd Fadzil berada di Melaka sebagai persediaan pembukaan cawangan kedua Malakat Mall di Masjid Tanah, esok.

Beliau berkata, umat Islam di negara ini tidak boleh terus membiarkan ekonomi dikuasai orang luar yang akhirnya menyebabkan umat Islam terus dihimpit kemiskinan.

“Tiada masalah jika ada kerjasama yang baik dengan syarikat asing tapi jangan kita menyerah sampai beri semua kekayaan kita kepada mereka, sedangkan ini tanah air kita,’’katanya.

Mohd Fadzil berkata, umat Islam di negara ini perlu menjadikan zaman kegemilangan Melaka sebagai contoh dan dorongan untuk melihat kebangkitan semula ekonomi Islam di rantau ini.

Katanya, kehebatan Melaka pada ketika itu tidak terletak pada kehebatan pendekar atau hulu balang tetapi keupayaan menguasai perdagangan sehingga menjadi pusat perhimpunan pedagang dunia.

“Sehingga kehebatan orang Melayu ketika itu diiktiraf oleh kerajaan China, satu kerajaan yang cukup besar dan hebat. Mereka menghantar delegasi Cheng Ho dan Puteri Hang Li Po. 

“Sehinggalah juga ada istilah Malakat yang diberi oleh pedagang Arab, merujuk kepada pusat perdagangan yang utama,’’ katanya. 

Mohd. Fadzil berkata, kehebatan Melaka menguasai ekonomi dan laluan perdagangan juga menjadikan kerajaan Islam Melaka ketika itu rebutan banyak kuasa utama dunia. 

“Tiada sebabnya untuk Belanda, Portugis dan Inggeris mahu menawan Melaka kalau kita miskin. Mereka takluk kita sebab kita hebat,’’ katanya. 

Cawangan kedua Malakat Mall yang bakal menjadi pusat perniagaan dan pembangunan ekosistem ekonomi Islam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here