Kempen Mak Kata Jangan perangi jenayah rasuah

0
150
Datuk Dr Hussamuddin Yaacub

CYBERJAYA – Pasukan #RasuahBusters Central Team tampil dengan inisiatif tersendiri dengan kempen ‘Mak Kata Jangan’ bagi membanteras jenayah rasuah.

Ketua Pasukannya, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, teras utama kempen itu ialah bagi mewujudkan rantaian yang memberi impak untuk membanteras rasuah.

Beliau berkata, ‘Mak Kata Jangan’ dihasilkan dalam tiga klip video berbahasa Melayu, Tamil dan Kantonis yang disokong oleh bahan lain seperti e-poster dan meme.

“Antara sebab utama penggunaan nama kempen Mak Kata Jangan adalah bagi menjadikan budaya dan rutin rakyat supaya mencegah diri dari menjadikan satu kebiasaan perbuatan menerima atau memberi rasuah.

“Mak Kata Jangan juga boleh menjadi peringatan kepada orang lain sekiranya mereka pula ditawarkan dengan rasuah.

“Dalam usaha sama-sama membanteras rasuah, orang ramai boleh bertindak sekarang dengan berkongsikan video ini dan apa sahaja karya lain menggunakan ‘Mak Kata Jangan’ selain tanda pagar #RasuahBusters dan #MakKataJangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Hussamuddin juga menyeru semua rakyat Malaysia bergabung bersama mereka dalam Gerakan #RasuahBusters dan menjadi ejen perubahan dalam masyarakat.

“Pembasmian rasuah adalah sebuah perjalanan yang panjang. Matlamat utama kita adalah mewujudkan tabiat dan budaya nasional baharu melalui standard etika dan nilai-nilai moral tertinggi dengan menumpukan kepada punca berlakunya wabak rasuah.

“Mak Kata Jangan merupakan kempen pertama kita bersama. Ianya tidak akan menjadi yang terakhir. Bersama kita bina Malaysia yang lebih baik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here