‘Kenapa guna pekeliling KDN 1986 sedangkan ada pekeliling baharu 2013’ – Aminuddin

0
410
Aminuddin Yahaya

CYBERJAYA – Keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah dan tiga kalimah lain bersandarkan pekeliling rasmi Kementerian Dalam Negeri (KDN) 1986 menimbulkan persoalan mengapa ia dibuat berpandukan keputusan lama sedangkan Kabinet telah membuat keputusan baharu pada 2013.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, jika benar keputusan yang dibuat Jemaah Menteri pada 1986 adalah lebih utama, Kabinet sekarang perlu membuat satu keputusan ‘once and for all’ bagi menghalangnya.

“Kita tertanya-tanya mengapakah kes Kalimah Allah 1.0 dahulu (2013) mahkamah membuat penghakiman menurut pekeliling rasmi KDN 1986 itu, dan bukan ‘kebenaran’ jemaah menteri? Kenapa ‘precedent’ kes tersebut tidak diambilkira?

“Jika ‘kebenaran’ jemaah menteri 1986 adalah lebih utama, maka jemaah menteri 2021 perlu membuat satu keputusan ‘once and for all’ bagi menghalangnya.

“Tetapi Jemaah Menteri akan berubah dengan berubahnya kerajaan, maka apakah kebenaran tersebut akan terus berubah pada masa akan datang mengikut ‘mood’ politik semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam tersebar berita mengenai hujah teknikal yang digunakan oleh hakim dalam Kes Kalimah Allah 2.0 di mana Jemaah Menteri pada tahun 1986 telah membenarkan penggunaan kalimah Allah secara bersyarat.

Keputusan itu menjadi antara hujah utama yang memenangkan mereka dalam kes ini.

Menurut Aminuddin lagi, secara logiknya kebenaran menggunakan kalimah Allah dan perkataan-perkataan lain itu akan memberi implikasi buruk kepada masyarakat.

Katanya, buktinya ia boleh dilihat di Indonesia apabila terdapat pihak yang menyalahgunakannya.

“Bagi saya, apa-apa keputusan yang dibuat di mahkamah mesti berlandaskan perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia.

“Ini adalah asas yang cukup kuat dan terlalu ‘fundamental’ bahawa agama Islam tidak boleh dibawa main sebarangan. Apatah lagi kalimah suci “Allah”, iaitu tuhan dalam agama Islam,” tegasnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here