Kerajaan akan umumkan kategori baharu penerima vaksin bagi fasa kedua PICK

0
87

CYBERJAYA – Kerajaan akan mengumumkan beberapa kategori baharu sebagai penerima vaksin dalam fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada Isnin depan.

Menurut portal Malaysia Gazette, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, antara kategori baharu yang akan diperkenalkan adalah kumpulan barisan hadapan dalam bidang ekonomi.

Beliau menambah, penambahan itu telah dipersetujui di peringkat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV).

Untuk rekod, fasa kedua PICK akan bermula pada April depan.

“Memandangkan pendaftaran untuk golongan sasar fasa 2 masih lagi tidak sepenuhnya, maka kita telah buat keputusan untuk mendahulukan beberapa kategori yang lain.

“Ada beberapa kumpulan yang kita kategorikan sebagai barisan hadapan ekonomi dan beberapa kumpulan lain yang kita persetujui di peringkat jawatankuasa semalam,” kata Khairy, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) negeri berkenaan.

Jelas beliau, penambahan itu dibuat selepas melihat tren pendaftaran fasa kedua masih belum mencapai sasaran.

Bagaimanapun, Khairy turut menjelaskan, golongan sasaran seperti yang ditetapkan sebelum ini khususnya warga emas dan golongan berisiko tinggi masih menjadi keutamaan sebagai penerima vaksin fasa kedua.

“Tetapi saya ingin tegaskan bahawa buat warga emas, golongan berisiko tinggi dengan penyakit kronik dan OKU masih lagi keutamaan dalam fasa kedua,” tambah beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here