Kerajaan akan usir PATI di Sabah

0
108
Hamzah Zainudin

KOTA KINABALU – Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerajaan Sabah akan mengambil tindakan tegas termasuk mengusir warga asing yang tinggal tanpa kebenaran di negeri itu.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan itu penting pada ketika ini terutama dalam menjayakan inisiatif kerajaan mengekang penularan pandemik Covid-19 melalui pemberian suntikan vaksin.

Beliau berkata, berdasarkan rekod dari tahun 1990 sehingga Mac tahun ini, lebih daripada 600,000 pendatang tanpa izin (PATI) terutama dari Filipina dan Indonesia telah diusir keluar melalui Sabah.

Katanya, jumlah itu termasuk hampir 7,000 PATI yang diusir sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan Sabah baharu di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diketuai Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

“Kerajaan negeri menegaskan bahawa semua warga asing yang berhasrat untuk berada di negeri Sabah perlu melalui proses imigresen yang sah dan mematuhi lunas perundangan ditetapkan.

“Dokumen perjalanan warga asing yang sah adalah amat penting pada ketika ini bagi menjayakan inisiatif kerajaan mengekang pandemik Covid-19 melalui pemberian suntikan vaksinasi kepada semua pihak, termasuk warga asing yang terbabit dalam sektor ekonomi.

“Bagi memperkasakan kawalan keselamatan sempadan, kerajaan Sabah juga meluluskan peruntukkan khas sebanyak RM500,000 bagi memantapkan pengoperasian di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) selepas lawatan Ketua Menteri Sabah baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini selepas kunjungan hormat beliau kepada Hajiji di Pejabat Ketua Menteri, di sini.

Menurutnya, kunjungan hormat terbabit adalah bagi membincangkan isu keselamatan dalam negeri dan kedaulatan negeri Sabah, terutamanya berhubung masalah PATI di Sabah.

Dalam pada itu, Hamzah berkata kementeriannya melalui semua agensi serta jabatan dibawahnya akan terus memperkasakan aset keselamatan negara serta dasar kerajaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keamanan dankeselamatan Sabah terjamin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here