Kes bunuh kakitangan: Ikram sedia beri kerjasama penuh

0
733

CYBERJAYA – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis berhubung kematian kakitangannya, Nik Khatijah Nik Mud, 32, yang merupakan Pengurus Jabatan Advokasi pertubuhan itu.

Pejabat Setiausaha Agung IKRAM dalam satu kenyataan berkata, sepertimana yang dilaporkan oleh pihak media, kes kematian arwah kini di bawah siasatan pihak polis.

“Justeru itu, IKRAM telah, sedang dan akan terus memberikan kerjasama yang sepenuhnya bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

“Kebajikan keluarga dan waris arwah juga sedang diuruskan. Mohon kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi bagi menghormati perasaan keluarga dan sahabat handai,” kata dalam kenyataan disiarkan di Facebook pertubuhan itu hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kematian arwah hari ini amat mengejutkan seluruh kakitangan IKRAM.

“Marilah kita sama-sama menitipkan doa semoga roh arwah dicucuri rahmat dan memperoleh keampunan daripada ILLAHI,” ujarnya.

Dalam kejadian semalam, seorang wanita ditemui mati dengan kesan jerutan di lehernya di sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko, Kajang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat mengesahkan mangsa merupakan individu yang sama dilaporkan hilang pada Sabtu lalu iaitu Nik Khatijah Nik Mud, 32.

Mangsa adalah bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berkhidmat dengan Ibu Pejabat Ikram sejak 2013 sebagai eksekutif Jabatan Wanita dan kini sebagai Pengurus Jabatan Advokasi. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here