KKM terima lebih 10,000 perjawatan secara tukar ganti

0
145
Datuk Seri Dr. Adham Baba

CYBERJAYA – Sebanyak 10,675 perjawatan baharu diterima Kementerian Kesihatan (KKM) melalui tukar ganti (trade-off) dengan kementerian lain untuk memenuhi keperluan membendung penularan pandemik Covid-19 bagi tahun 2020 dan tahun ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pelaksanaan pertukaran secara berperingkat itu dilakukan selari dengan dasar kawalan saiz (rightsizing) dalam perkhidmatan awam sejak 2015 yang tidak lagi mempertimbangkan perjawatan tetap melainkan secara tukar ganti.

“Namun, berdasarkan permohonan pada 2019, KKM telah mendapat kelulusan bagi sejumlah perjawatan baharu secara berfasa menerusi ‘trade-off’ jawatan dari KKM dan kementerian-kementerian lain,” katanya memetik laporan Bernama hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan forum secara maya Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (SHCOMOS) 2021 di sini.

Beliau berkata, KKM kini mempunyai 252,911 petugas tetap dan lebih 40,000 petugas kontrak meliputi pelbagai skim perkhidmatan yang sebahagiannya dilantik bagi memenuhi syarat latihan siswazah dan khidmat wajib, manakala sebahagian lagi untuk memenuhi keperluan membendung Covid-19.

Katanya, KKM membelanjakan lebih RM17 bilion atau 63 peratus daripada perbelanjaan mengurus tahunan kementerian bagi pembayaran gaji kepada petugas kesihatan, lebih tinggi berbanding negara-negara lain di dunia.

Dr. Adham berkata, ia tidak termasuk bayaran elaun lain yang dituntut seperti bayaran lebih masa dan elaun kerana tugasan rasmi lain.

“Sebagai contoh, daripada 18 negara di Eropah yang diteliti, purata jumlah tanggungan gaji di negara itu adalah sekitar 42.3 peratus daripada bajet kesihatan yang diluluskan, manakala daripada 64 negara di dunia yang diteliti, purata tanggungan gaji adalah sekitar 42.2 peratus,” katanya.

Justeru, beliau memohon kefahaman semua pihak khususnya mengenai kekangan KKM dari segi perjawatan tambahan dan peruntukan kewangan kerana kementerian lain juga memerlukan sumber manusia serta peruntukan yang perlu dipertimbang kerajaan berdasarkan kepada keupayaan semasa.

Bagaimanapun, Dr. Adham memaklumkan KKM mengemukakan permohonan tambahan perjawatan tetap dari semasa ke semasa mengambil kira keperluan perkhidmatan di fasiliti baharu, naik taraf dan fasiliti sedia ada.

Beliau berkata kementeriannya juga bercadang memohon pelantikan secara kontrak untuk tempoh yang lebih lama, dan perkara itu dalam penelitian di peringkat akhir sebelum dibawa untuk pertimbangan kerajaan.

Sementara itu, Dr Adham memaklumkan kementerian kewangan telah bersetuju melanjutkan tempoh kontrak pegawai perubatan, pergigian dan farmasi yang akan tamat kontrak pada pertengahan tahun ini di mana tawaran tersebut akan dibuat kepada pegawai oleh KKM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here