Korea Utara putuskan hubungan diplomasi dengan Malaysia

0
410
Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur. – Gambar hiasan

CYBERJAYA – Pyongyang hari ini memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia rentetan tindakan ekstradisi kerajaan terhadap seorang rakyat negara itu yang menghadapi tuduhan penggubahan wang haram ke Amerika Syarikat (AS).

Kementerian Luar Korea Utara dalam satu kenyataan menyifatkan kerajaan Malaysia telah melakukan jenayah yang tidak boleh dimaafkan apabila secara paksa menghantar rakyatnya yang tidak bersalah ke AS.

“Ekoran tindakan itu, Kementerian Luar Korea Utara membuat keputusan memutuskan semua hubungan diplomatik dengan Malaysia yang melakukan tindakan permusuhan dengan Korea Utara atas tekanan AS,” kata kementerian itu seperti dilaporkan agensi berita KCNA.

Kementerian itu juga memaklumkan pihak berkuasa Malaysia dan juga Washington akan menanggung tanggungjawab penuh terhadap kesemua akibat yang bakal terjadi akibat perkara itu.

Mahkamah Persekutuan pada 3 Mac lalu menolak rayuan terakhir Mun Chol Myong untuk mencabar perintah ekstradisi ke atas lelaki yang sudah tinggal di negara ini sejak lebih sedekad lalu.

Mahkamah Persekutuan memutuskan kesemua peraturan perjanjian ekstradisi antara AS dan Malaysia sudah dipenuhi, dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memudahcara proses berkenaan.

Perintah tersebut diperolehi berikutan dakwaan FBI terhadap Chol Myong dikatakan mengetuai kumpulan penjenayah yang membekalkan barang terlarang ke Korea Utara dan mencuci dana haram melalui syarikat samaran.

Chol Myong menghadapi empat pertuduhan pengubahan wang haram serta dua tuduhan konspirasi untuk membersihkan wang haram.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here